Sabtu, 4 Julai 2015 | 8:25pm

Angin kencang landa Sabah

KOTA KINABALU: Bumbung bangunan di sebuah sekolah swasta di Tamparuli telah tercabut dan diterbangkan angin kencang yang melanda Sabah khususnya di kawasan pantai barat awal pagi tadi.

Pegawai Daerah Tuaran, Abdul Mohd Ibnu Abdul Kadir Baba, berkata selain sekolah, bumbung kediaman penduduk kampung juga turut mengalami kerosakan sama.

Bagaimanapun, pihaknya, masih belum dapat mengenal pasti jumlah sebenar kerosakan yang berlaku.

"Urus setia bencana daerah sedang berjaga-jaga dan mengawasi situasi ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Angin kencang dan ribut telah melanda Sabah sejak semalam kesan daripada tempias ribut tropika kuat LINFA yang membadai kawasan Luzon, Filipina dan bergerak ke arah Barat Laut menghampiri perairan negeri ini termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

Abdul Mohd Ibnu berkata, setakat ini masih belum ada keperluan untuk memindahkan penduduk kampung yang terjejas ke pusat pemindahan sementara.

Di KUDAT, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri sempat meluangkan masa meninjau beberapa deretan kedai berhampiran jeti di Pulau Banggi yang turut terkesan akibat angin kencang itu, selepas menyampaikan sumbangan kepada golongan fakir miskin dan anggota tentera yang bertugas di Kem Karakit.

Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Kudat menyaksikan sendiri keadaan bumbung kedai terbabit yang tercabut diterbangkan angin kencang.

Di KOTA BELUD, Pegawai Daerah Abd Gari Itam berkata, pihaknya masih belum menerima laporan rasmi mengenai kerosakan harta benda, meskipun terdapat gambar pokok dan tiang lampu tumbang serta bumbung rumah diterbangkan angin dipercayai berlaku di daerah itu, di muat naik dalam media sosial.

"Saya percaya terdapat kerosakan berlaku di daerah ini kerana daripada apa yang saya lihat sewaktu dalam perjalanan balik ke Kota Belud tadi, terdapat banyak pokok dan tiang lampu tumbang di sepanjang jalan," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X