Jumaat, 3 Julai 2015 | 10:21pm

Maraton BSN Putrajaya Oktober ini

PUTRAJAYA: Kira-kira 12,000 peserta dijangka mengambil bahagian acara Maraton Malam Bank Simpanan Nasional (BSN) Putrajaya (BSNPNM 2015) edisi kelima di Istana Kehakiman, Presint 3, di sini, pada 24 Oktober ini.

Pengarah Perlumbaan, V Nithiaseelan berkata, jumlah peserta itu meningkat 17 peratus iaitu tambahan 2,000 peserta berbanding edisi tahun lalu.

"Kami mencapai sasaran jumlah peserta dan sambutan hebat ini akan menggalakkan pelari amatur berlatih dengan gigih untuk menamatkan larian maraton sejauh 42 kilometer (km)" katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain peserta tempatan, acara ini turut menarik peserta luar negara antara lain dari Singapura, Thailand, Australia, China, United Kingdom, Perancis, Jepun, Kenya, New Zealand, Nigeria, Rusia dan Amerika Syarikat.

Sebanyak RM89,000 dalam bentuk hadiah wang tunai ditawarkan untuk empat kategori pertandingan iaitu maraton penuh 42km, separuh maraton (221km), Larian Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan larian ria 5km.

Juara acara maraton penuh lelaki akan menerima hadiah wang tunai RM10,000, naib

juara (RM6,000) dan RM4,000 untuk tempat ketiga manakala juara wanita akan menerima RM7,000, naib juara (RM5,000) dan RM3,000 untuk tempat ketiga.

Tahun lalu, Nithiaseelan berkata sebanyak RM100,000 dikumpul menerusi penyertaan sektor korporat dan jumlah itu didermakan kepada Persatuan Dyslexia Malaysia.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai larian itu dengan melayari lama sesawang www.bsnpnm.com.- BERNAMA

Berita Harian X