Jumaat, 3 Julai 2015 | 12:04am

Dijemput ajal ketika beramal

ALHAMDULILLAH. Julai tahun 2013, impian menjejakkan kaki ke Tanah Suci dimakbulkan Allah. Sejak kecil saya berniat dipermudahkan urusan menunaikan Rukun Islam Kelima atau peluang melakukan umrah pada usia muda.

Kesempatan ke Tanah Suci, pada bulan penuh berkat Ramadan, satu peluang keemasan. Biarpun Arab Saudi mengehadkan visa perjalanan umrah kepada 14 hari berkuat kuasa 10 Jun 2013, Alhamdulillah urusan permohonan visa perjalanan kami berjalan lancar.

Bahkan, kami antara jemaah dipermudahkan urusan menetap lebih 16 hari di Madinah dan Makkah. Betul, jika Allah mengkehendaki terjadi, maka ia akan terjadi dengan izin-Nya.

Dalam tidak sabar merasai pengalaman berpuasa di negara orang, cabaran mengerjakan umrah ketika berpuasa dan bersesak bersama jemaah seluruh dunia, terselit juga perasaan bimbang dan takut.

Maklumlah, kali pertama menjejakkan kaki di Baitullah dan mendengar cerita ada tetamu Allah tidak nampak Kaabah, diberi ujian dan berdepan peristiwa aneh.

Bagaimanapun, ustaz berpesan jangan fikirkan perkara tidak elok kerana kita mahu bersih melakukan ibadat dan niat suci. Seeloknya, jemaah banyakkan bertaubat, berzikir dan fokus melakukan ibadat.

Alhamdulillah, pesanan itu saya pegang sebagai penyuluh jalan sepanjang di Tanah Haram. Ternyata, niat kita memainkan peranan penting apabila berada di sana dan doa saya, supaya ibadat kami sekeluarga diterima Allah SWT.

Berkongsi saat menunaikan umrah, saya sukar melupakan perkenalan dengan jemaah wanita sebaya ibu. Dalam perjalanan menaiki kapal terbang ke Makkah, saya ditegur jemaah berusia 50-an, bekas guru sekolah yang datang berseorangan ke Tanah Suci.

Beliau berbesar hati jika dapat menumpang kami sekeluarga sepanjang di kota Makkah kerana tidak mengenali jemaah lain.

Saya menyambutnya dengan lapang dada dan sejak itu, perkenalan kami sekeluarga dengan Mak Cik Ani seperti keluarga walaupun tidak mengenalinya sebelum ini.

Ziarah kami bermula di Madinah selama enam hari sebelum memasuki kota Makkah, sehari sebelum Ramadan. Sepanjang tempoh berkenaan, Mak Cik Ani kelihatan sihat, sentiasa ceria dan riang.

Setibanya di Makkah Mak Cik Ani kelihatan sihat dan bertenaga menunaikan umrah. Malamnya, ketika jemaah sibuk menunaikan solat Tarawih pertama, kami dikejutkan berita kematian Mak Cik Ani akibat sesak nafas. Apa yang menyedihkan apabila saya tidak dapat bertemunya pada saat akhir beliau menghembuskan nafasnya dan mengenalinya lebih dekat. Perkenalan kami selama seminggu erat seperti keluarga.

Jenazahnya disembahyangkan ratusan ribu jemaah di Masjidilharam dan dikebumikan di sana. Kata ustaz, orang meninggal di Tanah Suci selepas menunaikan umrah seperti bayi suci tanpa noda. Allahuakbar. Terkesan peristiwa itu, saya sentiasa sedar mati tidak mengira masa. Selayaknya sebagai umat Islam, mengingati mati hukumnya harus.

Rasulullah SAW bersabda: "Apabila Allah SWT mengkehendaki bagi seorang hamba suatu kebaikan, nescaya Dia mencari amalnya.

Ditanya bagaimana Allah mencari amalnya Nabi bersabda: "Allah memberi taufik kepadanya untuk melakukan amal baik sebelum kematian, kemudian diambil nyawanya dalam keadaan itu. (Riwayat Ahmad dan at Tirmidzi)

672 dibaca
Berita Harian X