Khamis, 18 September 2014 | 12:22pm
Eddy Cue, Apple's senior vice president of Internet Software and Service, introduces Apple Pay during an Apple event at the Flint Center in Cupertino, California, September 9, 2014. REUTERS/Stephen Lam (UNITED STATES - Tags: BUSINESS SCIENCE TECHNOLOGY)

MasterCard sertai platform pembayaran elektronik Apple Pay

NEW YORK: MasterCard bekerjasama dengan Apple untuk platform Apple Pay, kaedah pembayaran selamat menggunakan peranti telefon pintar mudah alih iPhone 6, iPhone 6 Plus dan Apple Watch.

Pembayaran melalui Apple Pay disepadukan dengan MasterCard Digital Enablement Service (MDES), membolehkan peranti yang berhubung digunakan untuk untuk beli-belah dan membuat pembayaran harian.

Menerusi kerjasama itu, pengguna iPhone 6, iPhone 6 Plus dan Apple Watch dapat menggunakan kad kredit atau kad debit MasterCard, daripada bank-bank yang mengambil bahagian, secara langsung melalui Apple Pay.

Ketika membuat pembayaran, pengguna hanya perlu meletakkan iPhone berhampiran pembaca tanpa sentuh, dengan jari mereka pada Touch ID dan urus niaga mereka akan disahkan.

Bagi pembelian melalui aplikasi, pengguna hanya perlu sentuh untuk membayar dan mengesahkannya dengan cap jari atau kod laluan dan ini dapat memberikan pengalaman pembelian yang mudah tanpa perlu memasukkan nombor kad mereka atau memberhentikan aplikasi.

Ketua Pegawai Pembayaran MasterCard, Ed McLaughlin, berkata Apple sememangnya terkenal dalam mencipta produk canggih dengan pelbagai ciri penting kepada pengguna.

"Digabungkan dengan teknologi pembayaran MasterCard, Apple Pay memberikan pengguna satu cara yang mudah, selamat dan mengutamakan privasi untuk membeli-belah," katanya dalam satu kenyataan.

Apple Pay boleh dinikmati pengguna di Amerika Syarikat mulai Oktober ini selepas membuat kemas kini percuma sistem operasi (OS) iOS 8.

Minggu lalu, Visa Inc mengumumkan kesediaan penawaran kaedah pembayaran elektronik Apple Pay menerusi platform Visa Token Service yang diperkenalkannya.

11 dibaca
Berita Harian X