Khamis, 2 Julai 2015 | 11:21am

Universiade: Tiada masalah berbuka, bersahur di kampung sukan


PASUKAN bola sepak negara berbuka puasa di perkampungan sukan, Gwangju. - Foto NSTP

GWANGJU, Korea Selatan: Berada di perantauan terutama sekali di bulan Ramadan pastinya berbeza dengan di negara sendiri.

Pada temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) di sini, terdapat kira-kira 50 peratus atlet daripada 111 negara yang menyertai Sukan Universiti Dunia (Universiade), adalah beragama Islam.

Sebagai atlet, pastinya pengalaman berpuasa di perantauan sudah biasa namun kali ini kebimbangan tentang makanan halal pastinya ada apatah lagi Bandaraya Gwangju tidak mempunyai pengalaman dalam penyediaan makanan halal berbanding Seoul.

Restoran makanan halal tidak banyak di sini kecuali restoran makanan khusus sayur-sayuran dan makanan laut.

Begitupun, menurut Ketua Kontinjen Malaysia, Prof Dr Anuar Hassan berkata atlet dan pegawai yang tinggal di perkampungan sukan tidak menghadapi masalah tentang makanan kerana penganjur menyediakan hidangan halal.

"Di sini atlet tidak perlu risau untuk bersahur walaupun waktu subuh di sini lebih awal iaitu pada jam 3 pagi kerana dewan makan dibuka 24 jam. Begitu juga waktu berbuka puasa, mereka boleh makan di sini tanpa bimbang," katanya.

Penulis yang sempat berbuka puasa bersama atlet di dewan makan malam tadi berpuas hati dengan penyediaan penganjur apa lagi sijil halal daripada Persekutuan Halal Korea ada dipaparkan sebelum kaunter makanan.

Makanan jenis Timur Tengah ada disediakan bagi atlet dan selain buah kurma bagi berbuka puasa.

Namun beberapa atlet negara masih membawa bekalan dari Malaysia seperti sambal ikan bilis bagi memenuhi selera sekali gus melepaskan rindu masakan ibu di tanah air.

Berita Harian X