Khamis, 2 Julai 2015 | 9:35am

Jaga adab dalam masjid - Raja Muda Perlis


GAMBAR fail, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurunkan tandatangan perasmian Masjid Al-Munawwarah, Kampung Sungai Bugis, Simpang Empat, Arau pada 24 Jun yang lalu. - Foto Eizairi Shamsudin

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, mahu jemaah masjid mengamalkan adab mulia dalam Islam seperti mengenakan pakaian bersih dan bau-bauan yang harum, sebagai amalan harian.

Baginda bertitah jemaah juga perlu menggunakan bahasa indah serta bersikap positif ketika berada di masjid yang akan mengukuhkan pergaulan dan persaudaraan sesama umat Islam.

"Masjid adalah tempat terbaik untuk umat Islam memperbaiki hubungan itu. Jadi, wajarlah kita memulakannya dengan mengamalkan budaya itu di masjid," titah Tuanku Syed Faizuddin pada majlis penamaan Masjid Faizuddin Jamalullail di Egang-Egang Melanu, Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah, malam tadi.

Teks ucapan baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu dikeluarkan di sini, hari ini.

Keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin bersempena 'Ops Pasir' di timur Sabah itu disambut Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong. - BERNAMA

Berita Harian X