Rabu, 1 Julai 2015 | 6:33pm

Universiade: Gwangju sudah sedia, Malaysia hantar 176 wakil


MAJLIS menaikkan bendera Malaysia di temasya Sukan Universiti Dunia di perkampungan Sukan Gwangju. - Foto Hasriyasyah Sabudin

GWANGJU, Korea Selatan: Penganjur di sini, sudah pun bersedia mementaskan temasya sukan kedua teramai penyertaannya di dunia - Sukan Universiti Dunia atau Universiade kali ke-28.

Tinjauan di sekitar perkampungan sukan menyaksikan 21 blok yang bakal menempatkan 14,000 atlet dari 150 negara sudah mulai sibuk dengan kebanyakannya sudah tiba.

Kontinjen negara juga baharu saja selesai menyertai upacara menaikkan bendera di perkampungan sukan dengan penyertaan atlet dari sukan bola sepak, lawan pedang dan memanah, diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pengurusan Kontinjen, Hazally Jali.

"Tempat penginapan dan segala kemudahan dilihat serba lengkap termasuklah venue pertandingan.

"Tiada rungutan yang saya terima daripada atlet kita dan semua perkara mengikut jadual. Sistem pengangkutan juga cekap dan bagus," katanya Hazally ketika ditemui di sini, sebentar tadi.

Pada penyertaan temasya yang bakal bermula secara rasmi pada Jumaat ini hingga 14 Julai, Malaysia yang terdiri daripada 111 atlet dan 65 pegawai akan turut serta dengan misi merangkul pingat emas pertama negara.

Kontinjen negara membawa pulang tiga gangsa pada temasya lalu di Kazan, Russia pada tahun 2013.

INFO

Tarikh: 3-14 Julai 2015

Kontinjen negara

Atlet: 111 (73 lelaki dan 38 wanita)

Pegawai : 65

Bilangan sukan disertai: 15

Berita Harian X