Rabu, 1 Julai 2015 | 2:37pm

Wimbledon: Federer, Nadal, Murray mara


ROGER Federer membalas pukulan Damir Zumhur pada pusingan pertama Kejohanan Wimbledon, di London hari ini. Federer menang 6-1 6-3 6-4. - Foto EPA

LONDON: Bekas juara, Roger Federer dan Rafael Nadal mudah mara pada Kejohanan Wimbledon, di sini, selepas mencatat kemenangan terus pada aksi pusingan pertama.

Federer hanya mengambil masa 67 minit untuk mengenepikan cabaran Damir Dzumhur yang membuat penampilan sulung dalam kejohanan ini dengan keputusan, 6-1 6-3 6-4.

Nadal, 29, pula menyingkirkan Thomaz Bellucci di Court One, dengan keputusan 6-4 6-2 6-3 yang dianggap kemenangan komprehensif.

Suhu di sini, melebihi 30C, namun baik Federer atau Nadal tidak mengambil peduli beraksi dalam keadaan antara cuaca paling panas di Britain pada tahun ini.

"Di Australia keadaan lebih buruk," kata Nadal yang juga juara dua kali Wimbledon.

Dalam satu lagi aksi, pilihan ketiga, Andy Murray memulakan kempen kejohanan dengan mengalahkan pemain Kazakhstan, Mikhail Kukushkin dengan keputusan 6-4 7-6 (7-3) 6-4 dalam masa dua jam 13 minit.

Pilihan ke-13 kejohanan, Jo-Wilfried Tsonga turut dipaksa bermain dalam lima set sebelum dapat menundukkan Gilles Muller, dengan keputusan 7-6 (10-8) 6-7 (3-7) 6-4 3-6 6-2. - AGENSI

Berita Harian X