Rabu, 1 Julai 2015 | 1:40pm

Kajian kelajuan internet Malaysia oleh Ookla tidak tepat - Jailani

KUALA LUMPUR: Laporan yang dikeluarkan pengendali ujian kelajuan jalur lebar global, Ookla, mengatakan internet di negara ini lebih teruk berbanding Kemboja dan Vietnam adalah tidak tepat, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Beliau berkata, kaedah pengiraan yang dibuat oleh Ookla hanya mengambil kira purata kelajuan di setiap bandar.

"Jumlah sampel bandar yang digunakan bagi Kemboja sebagai contoh hanyalah satu bandar iaitu Phnom Penh.

"Sedangkan di Malaysia melibatkan 50 buah bandar di seluruh negara dengan kadar kelajuan yang berbeza-beza mengikut bandar bermula dengan 4 megabit per saat (Mbps) hingga 30 megabit per saat (Mbps)," katanya bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Hamzah Mohd Kasim berhubung isu itu di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata, sekiranya perbandingan dibuat secara terus dengan membandingkan sebuah bandar sahaja, kelajuan jalur lebar di Selangor adalah pada kadar 15Mbps yang melebihi kelajuan di Phnom Penh pada kadar 10Mbps.

Kajian Ookla tahun lepas melaporkan Malaysia berada pada kedudukan 124 di dunia yang mempunyai kelajuan jalur lebar pada tahap 5.63Mbps, hampir tiga kali lebih perlahan daripada Vietnam dengan 18.4Mbps dan Kemboja pada tahap 5.8Mbps.

Menurut Jailani, kerajaan sentiasa meneliti dan menimbangkan keperluan pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk perluasan liputan selular melalui pembinaan menara telekomunikasi baharu untuk memastikan penduduk mendapat akses kepada jalur lebar.

Antaranya melibatkan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi yang akan menyediakan kelajuan sehingga 100Mbps dan projek Sub-Urban Broadband (SUBB) yang akan menyediakan kelajuan sehingga 20Mbps melibatkan kawasan di pinggir bandar.

Sistem Kabel Rakyat 1Malaysia (SKR1M) yang melibatkan pembinaan kabel rangkaian dasar laut yang menghubungkan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak juga sedang giat dilaksanakan secara berperingkat.

- BERNAMA

Berita Harian X