Rabu, 1 Julai 2015 | 12:26pm
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Kementerian Kesihatan tidak halang 'perubatan lengkap' untuk rawat denggi

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan tidak menghalang mana-mana pihak untuk mengamalkan konsep 'perubatan pelengkap' dalam konteks rawatan dan pemulihan pesakit-pesakit denggi, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata walaupun konsep itu dibenarkan, rawatan mengikut prosedur biasa di hospital tetap dijalankan terhadap pesakit sehingga benar-benar pulih, kerana ia bukanlah rawatan alternatif.

"Kita tidak melarang keluarga pesakit menggunakan perubatan pelengkap seperti jus daun betik dan sup ketam dan didapati (pengambilan) jus daun betik ada kejayaan kerana ia dapat meningkatkan bilangan platelet," katanya semasa menjawab soalan Senator S. Bagiam Ayem Perumal.

Bagiam ingin tahu adakah benar rawatan tradisional seperti penggunaan jus daun betik dan sup ketam benar-benar membantu pesakit denggi kembali pulih dan apakah pendirian kerajaan terhadap rawatan tradisional itu.

Sementara itu, menjawab soalan asal, Hilmi memberitahu hasil pelaksanaan Operasi Mega dari Julai hingga September 2014, kes denggi mingguan berjaya dikurangkan daripada 3,000 kes seminggu kepada 1,800 kes.

"Bagaimanapun situasi ini tidak dapat dikekalkan dan trend kes denggi menunjukkan peningkatan semula selepas berakhirnya Operasi Mega dan berterusan sehingga awal Februari tahun ini dengan purata jumlah mingguan 3,000 kes.

"Namun pada Mac dan April lalu jumlah kes berkurang kepada kurang 2,000 kes seminggu dan trend kes denggi yang berubah-ubah dipengaruhi oleh pelbagai faktor terutama cuaca, trend kes pada tahun terdahulu (corak kitaran), perubahan serotip dan pergerakan populasi, terutama pesakit yang telah dijangkiti denggi," katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu keberkesanan aktiviti pencegahan juga dipengaruhi oleh faktor-faktor yang sukar dikawal oleh Kementerian Kesihatan.

Dr Hilmi bagaimanapun berkata, tindakan pencegahan oleh semua pihak sangat penting kerana tanpa pembabitan masyarakat transmisi jangkitan sukar dikawal kerana punca pembiakan Aedes masih banyak di sekeliling kita.

- BERNAMA

Berita Harian X