Selasa, 30 Jun 2015 | 12:04am
LAUNGAN Semangat juang atlet semasa majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen dan pengurus pasukan ke UNIVERSIADE Gwanju 2015 di Hotel Palm Garden Putrajaya. - Foto Hasriyasyah Sabudin

111 atlet negara bersaing di Universiade


KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Universiade kontinjen negara, Hazally Jali.

KONTINJEN negara terdiri daripada 111 atlet dan 75 pegawai bakal bersaing dalam 15 acara sukan di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Gwangju, Korea Selatan bermula dari 3 hingga 14 Julai ini. Mereka hadir di temasya kali ini dengan misi memburu pingat emas pertama selepas merekodkan pencapaian terbaik ketika kejohanan berlangsung di Shanzhen, China pada 2011 apabila membawa pulang satu pingat perak dan dua gangsa. Pada edisi lalu di Kazan, Russia pula, kontinjen negara meraih tiga gangsa yang semuanya daripada badminton.

Apapun penularan wabak Sindrom Pernafasan Koronavirus Asia Barat (MERS-COV) yang meragut 27 nyawa di Korea Selatan mencetuskan sedikit kebimbangan pada kontinjen negara.

Ikuti temuramah wartawan BH Sukan, Jumiati Rosly bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Universiade kontinjen negara, Hazally Jali, yang juga Setiausaha Bahagian Sukan (Sektor Pendidikan Tinggi) Sektor Pendidikan Malaysia, Kementerian Pelajaran mengenai persiapan kontinjen negara dan penularan Mers-Cov pada temasya edisi ke-28 itu.

Soalan (S): Adakah persiapan kali ini yang terbaik buat kontinjen negara sepanjang penyertaannya di Universiade?

Jawapan (J): Saya tidak menafikan persiapan ke Universiade kali ini adalah yang terbaik kerana sebilangan besar atlet baru saja selesai bertanding di Sukan SEA Singapura 2015. Untuk makluman, 33 atlet atau 29.7 peratus daripada 111 atlet yang akan ke Gwangju adalah pemenang pingat di Sukan SEA Singapura. Daripada jumlah itu, 14 atlet adalah penyumbang pingat emas, jadi saya yakin atlet kali ini sudah bersedia untuk berjuang dan akan memberikan saingan terbaik di Gwangju, Korea Selatan. Mereka juga sudah menjalani latihan secara tetap untuk berjuang di Universiade. Kementerian Pelajaran turut menghantar sebilangan daripada mereka menyertai beberapa kejohanan bertaraf antarabangsa seperti Sukan Universiti ASEAN (AUG) dan Kejohanan Universiti Dunia (WUC). Penyertaan mereka ke Universiade ini juga memberi peluang kepada atlet terbabit menjadikannya sebagai platform menonjolkan diri untuk dipilih ke Sukan Olimpik Rio 2016.

S: Adakah kontinjen negara mampu merealisasikan sasaran untuk meraih emas pertama di kejohanan ini?

J: Universiade adalah sukan kedua terbesar dunia selepas Sukan Olimpik dan kebanyakan negara maju menjadikannya sebagai platform buat atlet melakukan persediaan untuk Sukan Olimpik. Malaysia juga tidak ketinggalan menjadikan temasya itu sebagai satu agenda penting dalam menyerlahkan prestasi atlet negara khususnya yang berada di institusi pengajian tinggi (IPT). Melalui pelbagai persiapan yang telah kementerian laksanakan seperti pemilihan atlet yang terbaik dan menyeluruh di IPT, pendedahan berterusan, kem kecemerlangan dan latihan pusat, kita percaya misi emas pertama ini bukanlah satu perkara yang mustahil untuk dicapai.


PEMBAWA Jalur Gemilang, Fatin Nurfatehah Mat Salleh semasa majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen dan pengurus pasukan ke UNIVERSIADE Gwanju 2015 di Hotel Palm Garden Putrajaya. - Foto Hasriyasyah Sabudin

S: Apakah acara sukan yang berpotensi meraih pingat emas pada kejohanan ini?

J: Melalui kerjasama yang erat daripada pelbagai agensi lain terutama Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA), Kementerian Pelajaran telah meletakkan sasaran empat daripada 15 jenis sukan sebagai prospek emas pertama iaitu melalui sukan memanah, badminton, menembak dan gimnastik artistik. Pembawa jalur gemilang, Fatin Nurfatehah Mat Salleh adalah prospek pingat emas negara di Gwangju selepas kejayaan cemerlangnya meraih emas di Piala Dunia, Shanghai dan tiga pingat emas di Sukan SEA Singapura.

Bagi acara lain, kecemerlangan itu boleh dicipta sekiranya kita bersungguh-sungguh dan berusaha dengan penuh komitmen.

S: Apakah cabaran terbesar yang dihadapi kontinjen negara untuk menyertai kejohanan ini?

J: Satu cabaran adalah ada beberapa atlet elit negara daripada pelbagai jenis sukan tidak dapat menyertai kejohanan kali ini. Seorang daripadanya adalah prospek pingat emas iaitu Iskandar Zulkarnain menerusi sukan badminton. Dia tidak dapat menyertai kontinjen negara kerana komitmen lain yang ditetapkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Selain itu, atlet harus menjalani latihan pusat ketika bulan Ramadan dan sesi latihan terpaksa dikurangkan berbanding hari biasa. Atlet juga bertanding pada bulan mulia itu sehingga dua hari sebelum menjelang Aidilfitri. Bagaimanapun, kementerian percaya bulan Ramadan bukan halangan untuk atlet beraksi cemerlang di Gwangju.

S: Wabak MERS-COV mengakibatkan 27 kematian di Korea Selatan. Apakah langkah pencegahan yang dilakukan kontinjen negara setakat ini?

J: Kesihatan kontinjen negara sememangnya berada pada tahap yang baik buat masa ini. Kami sudah mengambil langkah pencegahan untuk atlet dan pegawai dengan mengadakan saringan kesihatan sebelum bertolak ke Gwangju. Selain itu, taklimat berkaitan kebersihan diri, pemakanan dan mendapatkan rehat yang sepatutnya juga diberikan oleh pegawai perubatan kontinjen. Kementerian Pelajaran sentiasa mendapatkan maklumat terkini yang dikeluarkan oleh Persekutuan Sukan Universiti Antarabangsa (FISU), Jawatankuasa Penganjur Universiade Gwangju serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung wabak itu.


ATLET gimnastik, Amy Kwan (kiri), Farah Ann Abdul Hadi, Tan Ing Yueh dan Tracie Ang semasa majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen dan pengurus pasukan ke UNIVERSIADE Gwanju 2015 di Hotel Palm Garden. - Foto Hasriyasyah Sabudin

S: Pada edisi 2009 di Serbia, kontinjen negara menarik diri pada saat akhir akibat wabak H1N1. Bagaimanapun, keadaan berbeza dengan wabak MERS-COV di Korea Selatan. Apakah kontinjen negara yakin dengan langkah pencegahan yang dilakukan pihak penganjur?

J: Situasi wabak MERS-COV yang melanda Seoul adalah berbeza sama sekali berbanding penularan H1N1 yang berlaku di Serbia pada 2009. Untuk temasya di Gwangju kali ini, Kementerian Pelajaran akan memastikan atlet menjaga kesihatan, pemakanan dan mendapat rehat yang cukup serta mengambil langkah pencegahan universal seperti menggunakan topeng muka dan pencuci tangan. Kementerian berharap atlet benar-benar sihat dan terus mengekalkan tahap kesihatan sebelum, semasa atau selepas kejohanan berlangsung.

Berita Harian X