Isnin, 29 Jun 2015 | 5:07pm
Komen dari Khairy Jamaluddin di TWITTER miliknya.

Jubah K. Alif milik Kem Salleh 'diusik' KJ

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memuat naik gambar jubah dipanggil Khairy bertulis "siapa yang jual jubah ini, sila PM (mesej peribadi) kepada saya. saya nak kutip komisen" di laman Twitter mengundang minat dan perhatian ramai.

Malah menariknya, jubah yang dimaksudkan menteri berkenaan ialah jenama yang diusahakan individu yang cukup berpengaruh di kalangan fesyen dan industri hiburan.

Individu yang dimaksudkan itu ialah Kem Salleh. Selepas sekian lama menyepi, Kem kini kembali mewarnai industri fesyen Malaysia dengan K.Alif yang menampilkan busana lelaki Muslim.

Beliau juga sedang dalam perancangan untuk memperagakan koleksi dari K.Alif di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) Ogos nanti.

Gambar berkenaan turut diungkap semula pengikutnya lebih 1000 orang dan menjadi kegemaran lebih 700 orang yang mengikutinya di laman Twitter miliknya.

Kem turut memuat naik gambar yang berjaya berjaya menjadi paparan skrin oleh temannya sejak semalam itu di laman Instagram miliknya.

"Saya berasakan dia hanya bergurau kerana kebetulan jubah itu sama dengan namanya. Tapi saya bukan pakai nama dia sebenarnya. Cuma koleksi jubah dan kurta saya diilhamkan dari nama Islamik seperti Kareem, Kadir, Kadar, Kafi dan juga Khairy," katanya kepada BH Online.

Rekaan K.Alif telah membawa dunia fesyen lelaki ke tahap yang baharu dengan rekaan ala Timur Tengah dan gaya muslim yang sesuai dipakai untuk semua majlis.

K yang membawa maksud Kem Salleh, pengasas kepada K. Alif yang juga merupakan tenaga kreatif di sebalik jenama ini dan seorang yang dikenali dalam industri fesyen tanah air.

Penggunaan huruf pertama dalam tulisan Jawi, iaitu "Alif", membawa aura Timur Tengah di dalam jenama tersebut selari dengan cita-cita K.Alif menakluki pasaran fesyen lelaki Muslim.

Secara keseluruhannya, ianya disebut sebagai "Kalif" yang bermaksud "caliph" atau "khalifah" dalam bahasa Arab.

Penggunaan noktah mengasingkan ketiga-tiga elemen berlainan dalam jenama ini. Pilihan huruf K dalam logo K.Alif pula adalah kombinasi K dan A yang diinspirasikan dari Phoenician Aleph.

Logo K yang sama digunakan pada bahagian belakang setiap busana sebagai lambang keaslian jenama.

Dengan kadar permintaan yang tinggi terhadap jubah, kurta dan pakaian inspirasi dari Timur Tengah, K.Alif merupakan jenama yang ditunggu-tunggu oleh ramai penggemar fesyen.

Rekaan yang menarik disertai dengan fabrik yang bermutu tinggi untuk setiap rekaan meletakkan K.Alif di tahap tersendiri berbanding jenama lain di pasaran. Khalifah adalah peneraju bagi mengetuai yang lain.

Kini, K.Alif bersandarkan kepada aspirasi yang sama. Jenama tempatan ini akan sentiasa selangkah ke hadapan dalam mencetus inspirasi fesyen terkini. Untuk maklumat lebih lanjut, layari www.kalif.my.

28 dibaca
Berita Harian X