Isnin, 29 Jun 2015 | 12:08am

Linda Rafar jadi penceramah kerana anak


PADA 5 Julai tahun lalu, Linda Rafar diuji apabila anaknya pergi menyahut seruan Ilahi akibat kanser. Dia reda dengan suratan bahawa anaknya, Memen (Rezaimen Keiflin) meninggal dunia pada usia 11 tahun, 5 Julai tahun lalu disebabkan barah perut atau 'Burkitt Lymphoma.


LINDA menyiram air mawar pada pusara Allahyarham anak lelakinya, Rezaimen Keiflin, yang meninggal dunia akibat barah perut. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

LINDA (kiri) dan suaminya, Syed Aiman (kanan) pada pengebumian arwah Memen di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, Julai tahun lalu. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Bergelut dan berjuang di saat hayat Memen masih ada, Linda juga seperti mana-mana ibu lain yang sedaya mungkin cuba untuk menyelamatkan anak mereka. Tetapi Tuhan lebih menyayangi Memen dan sebagai perlambangan kekuatannya itu juga, Linda bertukar kerjaya. Daripada menjadi pelakon dan penyanyi, Linda kini bergelar penceramah.


SURATAN kehilangan anaknya, Memen menyambut seruan Ilahi memberikan hikmah buat Linda.

Didorong dengan semangat dan kekentalan Linda menempuhi ujian itu, ada pihak yang tertarik mengundangnya ke acara tertentu yang dihadiri pelbagai lapisan khalayak seperti anak yatim, pelajar tahfiz, kolej, universiti dan agensi serta pertubuhan daripada pelbagai latar kerja.

"Saya banyak berkongsi mengenai penyakit kanser dan bagaimana saya lalui dugaan ini dari awal hinggalah Memen menghembuskan nafas terakhir. Saya sedar bukan saya sahaja pernah melalui dugaan seperti ini, orang lain pun pasti ada yang menerima nasib sama. Tapi sebagai selebriti, pastinya impak itu akan lebih nampak dan saya bersedia berkongsi rasa kepada semua.

"Menjadi penceramah ini langsung tak pernah terdetik di kotak fikiran saya selama ini. Ia satu pengalaman baharu buat saya. Malah, selepas memperlahankan rentak kerjaya lakonan dan nyanyian, tugasan sebagai penceramah ini sesuatu yang cukup mengujakan saya. Melihat hadirin yang datang jadi tersentuh dan mengalirkan air mata di atas kedukaan yang saya alami, saya sendiri turut sebak.

"Niat saya hanya sekadar berkongsi dan meluah rasa. Tapi syukur Alhamdulillah, penerimaan mereka yang hadir untuk mendengar dan menyaksikan perkongsian saya diterima. Itu sudah membuatkan saya berbesar hati. Biarpun pemergian Memen sudah berbulan-bulan tetapi saya melihat perkongsian ini sebagai memanjangkan kekuatan untuk semua ibu yang pernah berdepan perkara yang sama seperti saya," katanya.

Linda turut berkongsi dan mengabadikan pengalaman bersama arwah Memen menerusi penerbitan novel bertajuk Menunggumu Di Pintu Syurga, yang dijual pada harga RM15. Usaha menerbitkan novel itu bermula selepas Linda sering berkongsi perasaan dan hatinya di laman Instagram.


WAN Yunus Wan Amran dan Wan Irfan Wan Amran mengiringi jenazah bapa mereka untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Novel berkenaan dikatakan sudah terjual 100,000 naskhah. Malah, kata Linda, beliau dimaklumkan novel itu tersenarai sebagai Top 5 untuk kategori novel terbaik bagi festival buku yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Ia cukup menggembirakan saya.

Tapi dalam masa yang sama, saya sedar saya bukan penulis novel yang baik tetapi ikhlas mahu berkongsi apa yang dilalui. Itu sahaja," katanya yang bertudung sejak Mac tahun lalu.


LINDA Rafar. - Foto Rosela Ismail

Ramadan yang tiba ini menjadi tahun kedua, Linda berpuasa dan menyambut Syawal tanpa kehadiran Memen. Tanpa ragu, Linda mengakui kehilangan anaknya itu masih berbekas di ingatan. Hampir setiap waktu, wajah Memen masih berlegar-legar di fikiran dan Linda tak lupa membacakan al-Fatihah buat Memen.

"Hati saya umpama magnet dan ingatan terhadapnya masih kelihatan. Seolah-olah arwah masih ada dekat dengan saya. Jika tahun lalu, kehilangannya membuatkan hidup saya jadi tak keruan sehingga mengabaikan perhatian kepada anak yang lain dan suami. Saya terlalu meratapi pemergiannya hingga lupa kepada mereka yang masih hidup dan istimewa dalam hidup.

"Jadi tahun ini saya tidak mahu hal yang sama berulang kerana tidak mahu secara tidak sengaja mengabaikan suami dan anak. Saya pernah tanya seorang ustaz, jika terus meratapi pemergiannya akan jatuh hukum jadi dosa pula. Saya tak boleh terus bersedih dan merintih kerana arwah juga akan sedih di sana. Saya kena luputkan rasa itu supaya arwah boleh tenang di sana," katanya.


LINDA bahagia melayari rumah tangga bersama Syed Aiman. - Foto Munira Abdul Ghani

Linda kini bahagia dengan perkahwinan keduanya bersama pelakon Syed Aiman sejak hampir lapan tahun lalu. Perkahwinan terdahulu Linda dikurniakan dua anak iaitu Rezaril Keflin dan Allahyarham Memen. Bersama Syed, Linda memperoleh dua anak iaitu Syed Rezaqiib dan Syed Rezariiq.

INFO: Linda Rafar

  • Nama penuh: Azlinda Rafar
  • Pernah menganggotai kumpulan Elite bersama-sama Sasha Saidin, Azza, Abby dan Watie.
  • Dia juga pernah mewujudkan kumpulan GIM bersama adiknya, Diana Rafar
  • Linda dan Syed Aiman kini bergelar duta rasmi jenama Alfio Rado selama setahun.
  • Linda pernah berlakon dalam filem Litar Kasih pada tahun 1996 dan Awas pada tahun 1995.

86 dibaca
Berita Harian X