Isnin, 29 Jun 2015 | 12:05am

Baju, kuih raya jana pendapatan banduan


SETIAP kali Ramadan, mungkin antara kita terfikir nasib mereka di sebalik tirai besi, yang tentu menangisi kesilapan lalu sehingga tidak dapat menyambut puasa dan Aidilfitri bersama insan tersayang.

Bagaimanapun ketika umat Islam sibuk membuat persiapan menyambut 1 Syawal, sebahagian penghuni penjara pula tidak menang tangan menjahit baju raya serta menyediakan pelbagai jenis biskut, yang ditempah pelanggan.

Tugasan itulah menjadi kelaziman banduan di Penjara Wanita Kota Kinabalu apabila ketibaan Ramadan dan Aidilfitri antara lain dipenuhi aktiviti mengambil upah menjahit baju, biskut selain terbabit dalam aktiviti keagamaan.

MENJADI kelaziman banduan di Penjara Wanita Kota Kinabalu mengambil upah menjahit baju apabila ketibaan Ramadan dan Aidilfitri. - Foto Malai Rosmah Tuah

BH yang mengunjungi penjara itu berkesempatan melihat lebih dekat aktiviti banduan wanita menjahit baju raya di tingkat atas blok penjara berkenaan.

Seperti biskut raya, tempahan pakaian juga berlipat kali ganda menjelang Aidilfitri kerana harga ditawarkan lebih murah berbanding di luar.

Aktiviti bengkel jahitan di penjara itu dimulakan sejak lebih 10 tahun lalu, namun dalam bentuk latihan vokasional sebelum kini dilaksanakan dalam skala besar hingga membolehkan mereka mendapat sijil Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

ANTARA peralatan mesin jahit yang disediakan Penjara Wanita Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Berbekalkan lebih 26 mesin jahitan, kesibukan penghuni meningkat menjelang Ramadan kerana seawal jam 8 pagi, mereka sudah memulakan tugas menyiapkan tempahan baju raya daripada orang luar mahupun kakitangan penjara.

Mereka turut diberi tanggungjawab masing-masing. Ada yang bertugas sebagai tukang jahit, tukang sukat kain, memotong kain, memasang manik dan sulam serta ada yang membuat alas kaki menggunakan kain perca dan menjahit langsir.

ALAS kaki yang siap dijahit. - Foto Malai Rosmah Tuah

Diselia oleh guru pertukangan Jabatan Kemahiran Malaysia, seramai 19 banduan wanita bersungguh-sungguh menyiapkan tempahan baju kurung, jubah orang dewasa dan kanak-kanak serta langsir. Lebih mengagumkan, ada antara mereka tidak pernah memegang benang sebelum ini.

Seorang banduan yang hanya dikenali sebagai Diah, 24, mengakui tidak pernah terfikir akan mahir dalam bidang jahitan, terutama menjahit manik dan sulam.

PENGHUNI Penjara Wanita Kota Kinabalu diajar menjahit sehingga mahir dan mampu menerima tempahan. - Foto Malai Rosmah Tuah

Beliau yang menjalani hukuman penjara selama tiga tahun empat bulan kerana mengedar syabu, berkata apabila dibebaskan pada Oktober ini, kemahiran itu akan digunakan untuk mengambil upah menjahit.

"Duit simpanan daripada upah menjahit di penjara ini akan saya jadikan modal untuk membeli peralatan menjahit. Saya mahu mengubah hidup yang selama ini terbabit dalam gejala yang tidak sihat.

"Saya banyak membuang masa sebelum ini, namun sejak berada di sini, banyak pengalaman diperoleh. Ini semua hikmah, selain berpeluang membaiki kesilapan lalu," katanya mengakui tiada ahli keluarga menjenguk, termasuk ketika Aidilfitri sejak tiga tahun lalu.

Bagi Chi, 34, yang menjalani hukuman penjara selama 11 tahun bermula pada tahun 2010 atas kesalahan menipu, berkata dia sudah mendapat sijil SLDN pada tahun 2012.

"Kebanyakan tugas saya di bengkel ini ialah memotong kain selain menjahit. Tidak ramai antara kami mahir memotong dan mengukur kain. Saya juga akan membantu menjahit jika kerja memotong kain sudah siap.

"Kemahiran yang diperoleh di penjara ini banyak membantu. Apabila bebas nanti, saya berhasrat meneruskan kemahiran dalam jahitan dan mungkin buka kedai jahit kalau ada rezeki," katanya mengakui mampu menjahit baju kurung asli 10 pasang sehari.

 

Sementara itu, Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu, Nora Musa, berkata penjara yang dikatakan sebagai tempat pesalah menerima hukuman adalah sebuah 'sekolah kecil' yang bukan saja mendidik tetapi mempersiapkan diri penghuni untuk menjadi manusia berguna dan berkemahiran selepas dibebaskan kelak.

PENGARAH Penjara Wanita Kota Kinabalu, Nora Musa. - Foto Malai Rosmah Tuah

Beliau berkata, ia sejajar misi Jabatan Penjara itu untuk membentuk insan produktif melalui program pemulihan yang berkesan dalam persekitaran yang kondusif dan pengintegrasian strategik.

"Kita mahu melahirkan banduan berkemahiran kerana itu kita menyediakan kemahiran bersijil, di bawah Jabatan Kemahiran Malaysia melalui SLDN. Ini termasuklah penyediaan makanan, jahitan pakaian wanita, dandanan rambut dan solekan," katanya.

Mengenai bengkel menjahit, Nora berkata, selain berpeluang mengikuti sijil kemahiran, penghuni juga diberikan upah.

"Walaupun bayaran diterima tidak lumayan seperti di luar, penghuni diberi peluang mengikuti kemahiran di penjara. Selepas mengikuti kursus itu, penghuni menerima SLDN daripada Jabatan Kemahiran Malaysia dan dengan sijil itu, mereka boleh menggunakannya untuk memulakan hidup baharu," katanya.

Katanya, ketika ini, penghuni di situ sedang menyiapkan 1,000 tempahan membabitkan 350 pelanggan.

"Ada pelanggan yang menghantar hingga lima helai kain setiap seorang. Upah yang dikenakan kepada pelanggan juga berpatutan iaitu antara RM35 dan RM40 sahaja sepasang," katanya sambil menambah seramai 250 penghuni menjalani hukuman di penjara berkenaan.

Berita Harian X