Ahad, 28 Jun 2015 | 4:59pm

10 lelaki, wanita ditahan miliki dadah di Kubang Pasu


KETUA Bahagian Siasastan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, Asisten Superintendan Ishak Ali (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas di Bukit Kayu Hitam Jumaat lalu. - Foto Rahmat Othman

ALOR SETAR: Sebanyak 10 lelaki dan seorang wanita ditahan polis bersama dadah seberat lebih 200 gram serta 10 liter air ketum dalam serbuan di dua lokasi berbeza di Changlun dan Bukit Kayu Hitam, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superitendan Abd Rahim Abdullah, berkata antara dadah yang dirampas dalam operasi itu ialah heroin, syabu dan ganja serta 10 liter air ketum yang dianggarkan bernilai RM9,500.

Beliau berkata, serbuan pertama di Changlun pihaknya menyerbu empat buah rumah di Kampung Changkat Setoi dan Kampung Baru dan menahan lima lelaki berumur antara 25 hingga 48 tahun.

"Dadah yang dirampas ialah heroin, syabu dan ganja serta 10 liter air ketum dalam botol dan plastik," katanya di sini hari ini.

Katanya, dalam serbuan di Bukit Kayu Hitam pula lima lelaki berumur antara 21 hingga 41 tahun serta seorang wanita berumur 24 tahun ditahan dalam sebuah rumah di Ladang Rakyat dan Taman Seri Temin.

Abd Rahim berkata, pihaknya merampas dadah jenis heroin seberat lebih 150 gram dan syabu seberat lebih 26 gram.

Katanya kesemua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan dadah dan jenayah lain.

"Suspek direman tujuh hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (1), Seksyen 39A (2), Seksyen 6, Seksyen 3(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

- BERNAMA

19 dibaca
Berita Harian X