Ahad, 28 Jun 2015 | 3:14pm

Dafi tidak tertekan belum meletup di Indonesia


GADAFFI Ismail Sabri atau Dafi di majlis buka puasa Laugh Out Loud di Sunway Putra Hotel. - Foto Maya Sarina Mahat

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa kali mencuba nasib menembusi pasaran muzik Indonesia, Dafi akui tidak tertekan sehingga membantutkan usaha mengembangkan bakatnya, hanya kerana dia belum popular di negara itu.

Mengikut Dafi, selama ini pun dia tidak pernah memberi jaminan akan terus popular di negara itu. Baginya, soal popular itu subjektif.

"Apa yang lebih penting saya nak capai cita-cita dan kejar impian termasuk bekerjasama dengan Ahmad Dhani. Saya pun tak pernah kata 100 peratus akan terus meletup di sana. Semua ini berbalik kepada soal rezeki dan tuah," katanya.

Usaha Dafi di Indonesia bermula sejak 2008 lagi apabila terbabit mempromosikan kempen satu jenama ais krim bersama artis di sana iaitu Gita Gutawa.

Setahun selepas itu, dia sekali lagi ke sana mempromosikan lagu Di Antara dari album pertama berjudul Seumur Hidup termasuk menjalani penggambaran muzik video. Seterusnya pada 2012, Dafi ke Indonesia buat sekian kali kerana terikat dengan kerja pengacaraan di sana.

Dalam pada itu, mulai 4 Disember tahun lalu, Dafi menjadi artis Malaysia pertama dinaungi syarikat Republik Cinta milik komposer Ahmad Dhani yang berpangkalan di Jakarta.

"Dapat bekerjasama dengan komposer dan penerbit yang diingini selain melahirkan album berkualiti, sudah memadai. Kalau tak 100 orang kenal saya, cukuplah 10 orang saja yang kenal. Itu sudah kira bertuah," kata Dafi dalam pertemuan dengan BH Online dalam satu majlis berbuka puasa anjuran syarikatnya Laugh Out Loud (LOL) Entertainment Sdn Bhd baru-baru ini.


ARTIS-ARTIS Laugh Out Loud di Majlis buka puasa di Sunway Putra Hotel. - Foto Maya Sarina Mahat

Jelas Dafi, bulan puasa ini juga dia akan terbang ke Jakarta untuk komitmen seninya di sana.

"Sepanjang Ramadan ini saya banyak habiskan masa untuk majlis berbuka puasa dan undangan menyanyi. Masa terluang saya ambil kesempatan untuk bersama keluarga, teman dan mengutamakan ibadat. Dalam bulan ini juga saya akan terbang ke Jakarta untuk sesi pradengar dan rakaman lagu baharu bersama komposer Ahmad Dhani.

"Saya akan rakamkan lagu pertama untuk album baharu ini. Lagu seterusnya akan dirakamkan secara berperingkat. Malah saya juga gembira kerana dapat bersuara untuk pembikinan album ini. Ahmad Dhani turut memberi kebebasan untuk saya terbabit secara bersama untuk album ini termasuk dari peringkat pemilihan lagu dan susunan.

"Ahmad Dhani nak saya belajar dan peluang itu saya ambil demi manfaat masa depan. Bagaimanapun saya tidak terlalu tergesa-gesa untuk membikin album ini kerana ia dirancang berada di pasaran pada pertengahan tahun depan. Jadi memang rakaman album ini mengambil masa untuk saya berkarya dan belajar pada masa yang sama," katanya.

Mengikut Dafi, 10 lagu akan dimuatkan di dalam albumnya itu.

"Genre lagunya pula saya akan gabungkan elemen rock yang cukup sinonim dengan Ahmad Dhani dan elemen pop. Saya memang bukan penyanyi rock sepertinya. Cuma pada dasarnya saya akan nyanyikan lagu yang membolehkan saya menggerakkan badan. Mengenai bahasa pula, lagu saya nanti akan terarah kepada bahasa Indonesia.

"Saya rasa soal bahasa bukan satu isu besar kerana bahasa kita dan Indonesia juga seakan sama. Kitakan serumpun. Insya-Allah album ini akan dipasarkan di Indonesia dan juga di negara kita dengan bantuan syarikat LOL," katanya.

Dafi juga tak ketinggalan ditanya mengenai Ahmad Dhani sendiri. Dia nampak garang dan seperti susah didekati. Dafi sendiri mengakui perkara itu.

"Namun selepas mengenalinya, dia tidaklah seperti yang disangka. Memang kalau waktu kerja, dia nampak serius. Dia tahu apa yang dia nak buat. Pendek kata, dia tahu skop kerjanya. Memang kalau nak bekerja dengannya kita kena serius. Tapi kalau masa santai, dia OK sebenarnya. Saya sendiri memang dengar macam-macam fasal dia tetapi saya tidak pantas menjatuhkan hukuman.

Sementara itu, mengenai bercerita lanjut mengenai syarikat LOL, Dafi memberitahu semuanya bermula dengan niat menubuhkan syarikat bagi menguruskan kerjayanya sendiri bersama pengurus. Selepas lima tahun, Dafi turut terkejut dengan kemajuan dicapai syarikat itu.

Syarikat miliknya bersama pengurus, Afeeq itu kini turut menguruskan beberapa nama artis popular selain menjadi syarikat pengurusan acara.


ELFIRA Loy kini sertai Laugh Out Loud. - Foto Maya Sarina Mahat

Selain Dafi, LOL turut menaungi artis Rozita Che Wan, Sabhi Saddi, Zain Saidin, Jihan Muse, Aaisyah Dhia Rana dan terbaharu Elfira Loy turut mengikut langkah sama. Sebelum ini Sherry Ibrahim dan Bella Daly juga pernah bersama LOL namun kini memilih untuk bergerak sendiri.

LOL genap lima tahun pada 16 Jun lalu. Pada acara buka puasa LOL yang ditaja G2 Network Worlwide Sdn Bhd itu, syarikat itu turut meraikan anak yatim Al Firdaus dari Bukit Jelutong dan rumah orang tua Warisan Kasih, Banting, Selangor.

"Kami bermula kecil-kecilan dan kemudiannya terus berkembang. Daripada hanya saya sebagai seorang artis yang bernaung, kini LOL terus menambah bilangan artis. Ada juga artis yang sebumbung tapi tidak dalam tempoh lama. Semuanya pengalaman berharga. Saya harap syarikat ini akan terus berkembang," katanya dalam pertemuan dengan BH Online.

Berita Harian X