Sabtu, 27 Jun 2015 | 7:25am
SEBAHAGIAN pelajar tahfiz yang menghadiri kelas hafazan al-Quran di Madrasah Manabi'ul Ulum, Kubang Ulu, Bukit Mertajam.

Korban alam kanak-kanak hafaz al-Quran, hadis

Usianya baru mencecah tujuh tahun, tubuh kecil yang lengkap berjubah putih dan berserban itu tekun mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran tanpa mempedulikan orang di sekelilingnya.

Itulah rutin kehidupan Mohd Amirul Khairi, murid tahfiz paling muda di Pondok Penanti atau dikenali Madrasah Manabi'ul Ulum.

Dia yang berasal dari Cheruk Tokkun, dekat sini memulakan pengajian di sekolah pondok itu sejak berusia enam tahun. Dalam usia mentah itu, dia dihantar oleh ibu bapanya ke sekolah pondok berkenaan bersama 70 rakan lain untuk menjadi huffaz al-Quran dan Hadis, suatu hari nanti.

Mohd Amirul berkata, dia tidak kekok walaupun mempunyai rakan sekelas jauh lebih berusia kerana yakin ilmu tidak boleh diukur dengan usia.

Tinggal di asrama mudah

dalami ilmu agama

"Saya dihantar masuk ke sekolah pondok ini ketika berusia enam tahun. Pada masa itu, saya tidak menginap di asrama, namun selepas beberapa bulan, saya minta kebenaran ibu bapa saya untuk tinggal di asrama bagi memudahkan saya menghafaz al-Quran dan mendalami ilmu agama.

"Di asrama, saya belajar menguruskan diri daripada menyiapkan diri ke sekolah dengan memakai serban dan jubah putih sehinggalah membasuh pakaian. Pada mulanya memang kekok, namun ia tidak menjadi halangan untuk saya kekal belajar di sekolah pondok ini," katanya.

  Sifatnya agak pemalu, namun jelas terpancar kekentalan anak kecil ini. Masakan tidak, ketika rakan seusianya leka diulit keseronokan dengan lambakan gajet, permainan video dan rancangan kartun di televisyen, Mohd Amirul sehari suntuk menghafaz al-Quran.

Tak takut tinggal berjauhan

Tidak timbul erti takut tinggal berjauhan daripada keluarga pada usia yang sangat muda, malah bagi Mohd Amirul, momokan kejadian buli yang sering berlaku di asrama, sedikit pun tidak mematahkan semangatnya.

"Setiap hari, saya akan bangun seawal jam 5 pagi untuk mandi dan mempersiapkan diri sementara menunggu azan Subuh. Waktu yang ada saya akan mengaji sebelum solat berjemaah. Masa mula-mula masuk ke sekolah ini, saya sudah boleh membaca al-Quran dan selepas setahun di sini, bacaan saya semakin lancar. Kini, saya sudah mula menghafaz juzuk keempat," katanya.

Anak kelima daripada tujuh beradik yang bercita-cita melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir, ini mahu membuktikan pelajar sekolah pondok dan tahfiz mampu berjaya seperti pelajar sekolah aliran akademik moden.

Rakannya, Muhammad Nur Iman Muhamad, 8, pula mendaftar masuk ke sekolah pondok itu pada usia tujuh tahun. Sekelas dengan pelajar lain yang lebih berusia pada awalnya memutikkan rasa takut buatnya. Namun, rasa bimbang itu hanya seketika. Seperti pelajar muda yang lain, 'abang senior' di situ menerima dan melayan mereka dengan baik.

"Di sekolah tahfiz ini, kehidupan kami diatur dengan disiplin yang sangat tinggi. Kami bukan hanya menghafaz al-Quran, malah menjalani aktiviti seperti kanak-kanak lain. Di sini, kami tidak dibenarkan menonton televisyen dan bagi menggantikan hiburan pada waktu lapang, ustaz akan melakukan pelbagai aktiviti, termasuk gotong-royong, bersukan dan latihan seni mempertahankan diri," katanya.

Murid dilayan sama rata

 Muhammad Nur Iman berkata, hidup di sekolah pondok itu ibarat mendiami sebuah rumah yang mempunyai keluarga besar kerana semua murid dilayan sama rata, tidak mengira umur dan latar belakang keluarga.

"Memang ustaz di sini tegas dan garang, namun ia adalah lumrah supaya kami lebih cepat dapat menghafaz al-Quran dengan bacaan yang betul. Di sini, kami tidak dimanjakan sebaliknya kami diajar erti berdikari walaupun masih kanak-kanak," katanya.

Ditanya rahsianya untuk menghafaz al-Quran, dia berkata, al-Quran perlu dibaca dengan seikhlas hati dan kerap untuk memastikan kelancaran dengan bacaan tajwid yang betul.

"Ustaz di sini selalu berpesan jika hati kita ikhlas, setiap perkara kita lakukan akan mudah apatah lagi jika mahu menghafaz al-Quran," katanya.

Sesekali membetulkan kedudukan serban di kepalanya, Muhammad Nur Iman tidak terkilan melepaskan zaman kanak-kanak seperti rakan seusia yang lain, sebaliknya bersyukur kerana menjadi antara insan dipilih Allah untuk mendalami ilmu al-Quran.

Berita Harian X