Jumaat, 26 Jun 2015 | 2:28pm

MARA serah dokumen beli pangsapuri kepada SPRM


PENGERUSI MARA, Tan Sri Annuar Musa ditemubual media ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa menyerahkan beberapa dokumen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tengah hari tadi berhubung isu pembelian sebuah blok pangsapuri di Melbourne, Australia oleh Mara Incorporated Sdn Bhd.

Annuar tiba di perkarangan ibu pejabat SPRM di sini kira-kira jam 12.10 tengah hari bagi menyerahkan dokumen berkaitan kepada Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah.

"Beberapa dokumen diserahkan untuk memudahkan siasatan oleh pihak SPRM. Pada masa sama, kami minta SPRM menyegerakan siasatan dan memberi keutamaan terhadap isu ini, malah MARA akan memberi kerjasama sepenuhnya.

"Selain audit dalaman yang dilakukan MARA, kita juga akan melantik satu lagi juru audit antarabangsa supaya lebih berkredibiliti," katanya di sini.

Sementara itu BERNAMA melaporkan, ditanya sama ada pihaknya sudah mengenal pasti dalang di sebalik kes itu, Annuar hanya berkata: "more or less".

Berkenaan tindakan yang akan dikenakan kepada pegawai yang disyaki terlibat, beliau berkata ia tertakluk kepada kuasa Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Mara pada 1 Julai ini.

Mengulas mengenai kenyataannya berhubung kelulusan pembelian hartanah di Melbourne itu yang diputar belit oleh sesetengah media, Annuar berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak meluluskan pembelian itu pada 10 Mei.

"Kemudian Mara dan kementerian membawa rayuan kepada Majlis Ekonomi untuk dibincangkan kerana ia melibatkan pinjaman luar negara dan (Majlis Ekonomi) luluskan hanya 30 peratus dana Mara digunakan untuk pembelian itu. Bakinya dipinjam daripada bank luar negara," katanya.

Dua hari lalu, Najib meluahkan kekecewaannya apabila kenyataan Annuar berhubung pembelian hartanah di Melbourne itu diputar belit oleh sesetengah media sambil menjelaskan keputusan mengenai pembelian hartanah itu dibuat secara konsensus oleh Majlis Ekonomi.

Najib berkata sekiranya ada pihak yang didapati menipu atau cuba memperdaya ahli-ahli mesyuarat Majlis Ekonomi dengan butiran yang tidak tepat atau lengkap, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Sementara itu, menerusi kenyataan hari ini, Mohd Jamidan memaklumkan telah menghantar pegawainya ke Melbourne untuk mendapatkan dokumen dan maklumat yang boleh membantu siasatan.

"SPRM telah memanggil beberapa individu dan akan memanggil lagi individu lain yang ada kaitan dengan isu ini untuk diambil keterangan.

"Sehubungan itu, mana-mana pihak yang ada maklumat dan bukti boleh juga menyalurkan kepada SPRM," katanya.

Terdahulu, Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) melalui Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris turut membuat laporan kepada SPRM supaya siasatan menyeluruh dibuat terhadap kes itu demi kepentingan Mara sebagai institusi yang banyak berjasa kepada golongan Bumiputera.

Akhbar Australia, The Age melaporkan seorang pegawai tinggi Mara, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah.

Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada tahun 2013.

Ketiga-tiga pegawai itu didakwa 'membida lebih tinggi' bagi bangunan itu dikenali 'Dudley International House', daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Dudley International House adalah asrama pelajar, dibeli oleh Mara yang menyediakan biasiswa pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.

Bangunan Dudley International House setinggi lima tingkat di pinggir bandar East Caulfield, menempatkan 115 pelajar Mara di Monash University. - BERNAMA

20 dibaca
Berita Harian X