Rabu, 17 September 2014 | 2:59pm

Mayat pelajar lemas ditemui di Kemaman

KUANTAN: Mayat seorang pelajar institusi pengajian tinggi, Muhammad Aiman Abdul Khalib yang lemas ketika mandi di Pantai Cherating, dekat sini, Isnin lalu ditemui kira-kira jam 11 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superitendan Abdul Aziz Ahmad, berkata mangsa ditemui di Pantai Teluk Mak Nik, Kemaman, Terengganu, kira-kira 15 kilometer (km) daripada lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, Muhammad Aiman dikatakan hanya sempat mandi kira-kira 15 minit di pantai berkenaan sebelum dibawa arus ombak.

Rakannya yang panik melihat Muhammad Aiman secara tiba-tiba hilang meminta bantuan orang ramai serta penduduk tempatan untuk mencari mangsa.

Susulan itu, satu operasi mencari dilancarkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Muhammad Aiman adalah pelajar Institut Pendidikan dan Latihan RANACO, Kemaman dan berasal dari Pinggir Pelangi, Muadzam Shah, Rompin.

Ia adalah kejadian lemas kedua berlaku di Kuantan dalam minggu ini dan polis menasihatkan orang ramai terutama pengunjung dari luar supaya berhati-hati ketika berkelah di pantai serta sungai.

Berita Harian X