Jumaat, 26 Jun 2015 | 12:05am
HARGA mercun dan bunga api melambung pada musim perayaan adalah faktor mendorong kepada penyeludupan mercun. - Foto Amran Hamid
PEKAN Danok menjadi tumpuan rakyat Malaysia dipercayai untuk membeli mercun. - Foto Amran Hamid

Penyeludup ubah taktik bawa mercun


KAWALAN di utara sempadan negara terus dipersoalkan apabila mercun dan bunga api dilihat dijual berleluasa di bazar Ramadan serta pasar malam di negeri ini dan mudah dibeli kanak-kanak.

Berdasarkan maklumat, tidak kurang lima premis menjual pelbagai jenis mercun serta bunga api termasuk daripada jenis yang dilarang dan dikategorikan berbahaya.

Kebanyakan mereka dikatakan membeli mercun dan bunga api dari deretan kedai di pekan Danok, Thailand, dengan jaraknya kurang 500 meter dari pintu sempadan, yang didakwa menjadi antara tumpuan utama rakyat Malaysia terutama menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Mereka mendakwa membelinya dalam jumlah yang sedikit konon untuk kegunaan sendiri, namun ada yang membawa masuk mercun terbabit untuk dijual.

 Walaupun sekatan dan pemeriksaan ketat dilakukan pihak berkuasa di pintu masuk utama Malaysia-Thailand, aktiviti menyeludup masuk mercun dan bunga api tetap berlaku terutama dengan kewujudan ratusan lorong tikus di sepanjang garisan sempadan.


PELBAGAI jenis mercun dan bunga api yang dijual secara terbuka di Pekan Danok. - Foto Amran Hamid

Bawa masuk kuantiti kecil

 Sumber pihak berkuasa ketika dihubungi, mengesahkan wujud aktiviti membawa masuk mercun dan bunga api dalam kuantiti kecil termasuk melalui laluan utama yang dikawal pasukan keselamatan, yang diyakini turut menyokong aktiviti penjualan mercun dan bunga api di negeri ini.

"Mercun yang dijual di Danok, kalau sebulan dua sebelum puasa, harganya lebih rendah. Ketika itulah ramai yang beli mercun atau bunga api dan bawa balik untuk dikumpulkan sebagai stok. Ketika harga mercun melambung tinggi menjelang Aidilfitri, stok mercun dibawa keluar untuk dijual dan keuntungan diperoleh cukup lumayan.

"Bagi penyeludup tegar pula, risikan kita mengesahkan laluan tikus yang wujud di sepanjang sempadan sering menjadi pilihan utama. Malah, pihak berkuasa sendiri pernah menggagalkan cubaan membawa masuk mercun dan bunga api menggunakan lori kontena, selain pelbagai kenderaan lain termasuk menggunakan lori barang dan bas ekspres," katanya.

 Difahamkan, harga mercun dan bunga api melambung sehingga tiga kali setiap kali musim perayaan dan ia diyakini menjadi antara pendorong utama kepada penyeludup untuk beroperasi bagi mengaut keuntungan.

Sorok bersama barang lain

 Bagi yang membawa masuk secara kecil-kecilan, taktik biasa digunakan ialah menyorok bahan itu di antara barangan lain yang dibeli, selain pada ruang tersembunyi di dalam kenderaan dan selalunya golongan ini akan menggunakan laluan sah iaitu melalui pintu masuk utama yang dikawal pihak berkuasa.

 Di Bukit Kayu Hitam misalnya, selain di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) yang menempatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA), satu lagi tempat pemeriksaan perlu dilepasi di Kilometer 1.3 Lebuhraya Changlun-Bukit Kayu Hitam, di sini, yang dikawal Unit Pencegah Penyeludupan (UPP).

 Komander UPP Kedah, Abd Latif Abdul Rahman, ketika dihubungi mengakui agak sukar untuk membendung kegiatan penyeludupan mercun, apatah lagi dengan pelbagai taktik baharu digunakan mereka untuk memastikan aktiviti haram itu terus berlaku.


KEDAI menjual mercun dan bunga api di Pekan Danok. - Foto Amran Hamid

Perketat kawalan

"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan penyeludupan dan dalam kes mercun ini, kami bekerjasama rapat dengan JKDM untuk membendungnya.

"Kami sentiasa perketat kawalan terutama di laluan yang dikenal pasti menjadi tumpuan penyeludup khususnya di sepanjang musim perayaan kerana cubaan menyeludup dikhuatiri meningkat.

"Mengenai dakwaan wujud kegiatan membawa masuk mercun secara sedikit untuk kegunaan sendiri, kami tak akan tolak ansur dan rampasan akan dilakukan jika ditemui walaupun jumlahnya kecil. Ini kerana kita bimbang walau sedikit kelonggaran diberi, ia akan disalahgunakan untuk tujuan jenayah," katanya.

23 dibaca
Berita Harian X