Jumaat, 26 Jun 2015 | 12:03am
IKAN salmon yang dimasak keluarga Norismiza di Finland.
ROTI jala turut menjadi hidangan berbuka keluarga Norismiza.

Pelajar kita puasa 22 jam di Finland

 


BERPUASA selama 22 jam. Kedengarannya macam tidak percaya, tetapi itulah yang dilalui oleh sesetengah umat Islam terutama di benua Eropah, yang perlu berpuasa dalam tempoh amat panjang.

Cabaran berpuasa rakyat tempatan di perantauan dalam suasana persekitaran budaya dan masa yang berbeza memberikan pengalaman pahit dan manis kepada warga perantau. Itulah yang dirasai oleh Nurul Aida Abdul Malek, 31. Mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Vassa, Finland, Nurul Aida perlu merasai pengalaman berpuasa sehingga 22 jam.

Ini pengalaman kali pertama buatnya menjalani ibadat puasa seorang diri di Finland dengan waktu berbuka puasa yang lama. Dua tahun sebelumnya, beliau akan pulang ke Johor Bahru untuk berpuasa kerana kebetulan ia jatuh pada cuti semester.

Tahun ini, waktu sahur adalah pada jam 2.30 pagi dan berbuka pada 11.45 malam.

"Jarak antara berbuka dengan sahur sangat suntuk. Selepas berbuka, saya akan sembahyang Maghrib dan Isyak, diikuti solat tarawih, kemudian terus bersahur," katanya.

 

Beliau yang mengikut kursus dalam bidang pengurusan industri di universiti terbabit, berkata meskipun berpuasa selama 22 jam, beliau tidak makan dengan banyak apabila waktu berbuka.

"Saya rasa perut sudah masuk angin dan tidak boleh makan banyak. Apabila sahur pula, perut masih kenyang dengan juadah berbuka. Kadang kala saya minum air saja. Waktu puasa selalunya saya makan nasi dan kurma. Tempoh waktu berbuka hingga bersahur cuma dua tiga jam saja. Jadi saya akan makan kurma lagi untuk tambah tenaga dan bertahan lebih lama sehingga waktu iftar," katanya.

Untuk mengelak keletihan, beliau turut membuat jadual rapi bagi semua aktiviti sehariannya, termasuk ke kuliah dan mengulang kaji pelajaran. Malah, sebelum masuk Ramadan, beliau sudah berlatih berpuasa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan itu.

"Memang letih, tetapi Alhamdulillah, saya mampu melakukannya. Kini, saya tidak ada masalah berpuasa dalam tempoh yang panjang," katanya.

Seorang lagi penuntut Malaysia di Finland, Norismiza Ismail, 35, pula mempunyai pengalaman empat tahun berpuasa Ramadan selama 20 hingga 21 jam sehari, di negara itu dengan suhu antara 10 hingga 20 darjah Celsius.

Beliau berkata, tempoh yang panjang dan keadaan cuaca tidak menjadi halangan buatnya menjalankan ibadat puasa. Aktiviti harian dilakukan seperti biasa. Cuma, masalah mendapat makanan halal antara kekangan yang perlu dihadapi apabila menetap di luar negara.


NORISMIZA bersama anak dan teman ketika menunaikan solat terawih.

Komuniti Islam di Finland sangat kecil. Hanya ada empat keluarga Melayu yang menetap di negara itu dan masing-masing tinggal berjauhan. Untuk mendapatkan makanan halal, Norismiza perlu ke bandar yang terletak kira-kira 250 kilometer jaraknya dari Lappeenranta.

"Jadi, kami mengimport rempah ratus dari Malaysia dan dijadikan sejuk beku. Setiap kali ke bandar, saya sekeluarga akan membeli daging halal dalam kuantiti besar supaya ia boleh disimpan untuk sebulan. Sayur-sayuran juga disejuk beku supaya tahan lama," katanya yang ditemani suami, Mohamad Ezral Baharudin, 35, di negara berkenaan.

Mohd Ezraj juga mengikuti pengajian peringkat PhD dalam bidang kejuruteraan di universiti sama iaitu Lappeenranta Universiti of Technology (LUT) atas tajaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).


NORISMIZA bersama keluarga dengan hidangan berbuka puasa di rumah mereka di Finland.

Norismiza berkata, musim panas selalu ditunggu-tunggu oleh penduduk di Finland kerana ketika itulah mereka bebas melakukan pelbagai aktiviti luar.

"Kami juga tidak melepaskan peluang melakukan aktiviti beriadah seperti bersiar di tepi pantai dan melawat kawasan pelancongan walaupun berpuasa dalam cuaca panas," katanya.

 

Seperti kelaziman di tanah air, Norismiza tidak lupa bertukar-tukar juadah dengan jiran beragama Islam.


NORISMIZA beriftar bersama rakan-rakan.

"Kami tetap melayan mereka seperti saudara. Justeru, jika saya masak lebih, juadah akan diberi kepada jiran yang berasal dari Indonesia, Iran dan Afghanistan. Antara juadah berbuka yang dihidangkan nasi ayam, nasi putih berserta lauk, kuih-muih seperti kuih lopes, bubur kacang dan roti jala," katanya.

 


PELAKON baharu, Asyraf Ali.

Sementara itu, Khairul Ashraff Roslie, 39, yang mengikut isterinya melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Kanada, menganggap berpuasa di perantauan adalah detik paling manis yang akan terus disimpan dalam memorinya kerana bukan semua orang dapat merasai situasi berkenaan.

Khairul Ashraff berkata, ini adalah tahun kedua beliau berada di Kanada sekali gus merasai sekali lagi berpuasa di negara berkenaan.

Komuniti Islam yang kecil di kawasan tempat tinggal beliau di Kingston menjadikan sambutan Ramadan tidak semeriah seperti di negara sendiri.

"Pengalaman berpuasa di Kanada pada tahun lalu sudah tentu memberikan kelainan untuk saya sekeluarga. Sepanjang hidup saya, itulah kali pertama berpuasa di tempat orang. Pada mulanya, saya teruja kerana wujud perasaan ingin tahu bagaimana keadaannya di sini. Ternyata ia sangat berbeza lebih-lebih lagi apabila kami perlu berpuasa selama 17 jam. Suasana amat berbeza jika dibandingkan ketika berpuasa di Malaysia," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

 

Lebih menarik, empat anak perempuan pasangan Khairul Ashraff dan Salmiah Nawi, 39, yang berusia tiga tahun hingga 13 tahun juga tidak berhadapan sebarang masalah sekali pun berpuasa dalam tempoh yang panjang iaitu dari jam 2.30 pagi hingga 8.50 malam.

"Hari pertama puasa memang terasa lapar kerana sahur awal dan berbuka pula lambat. Jadi, kami agak keletihan, tetapi lama-kelamaan, kami mampu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan sudah jadi biasa.


PASANGAN Khairul Ashraff dan Salmiah Nawi serta keluarga berpuasa di Kanada.

"Saya mempunyai cara mendidik anak untuk berpuasa. Saya beri pilihan kepada mereka. Selepas waktu sekolah, mereka dibenarkan berbuka awal sekiranya tidak larat untuk meneruskan puasa.

Alhamdulillah, tahun lalu semua berpuasa penuh. Mungkin sebab waktu itu musim cuti sekolah, tiada aktiviti berat dilakukan menyebabkan mereka tidak letih. Justeru, ibadat itu dapat dijalankan dengan sempurna," katanya.

 

Untuk Ramadan tahun ini, minggu pertama berpuasa memerlukan anak-anaknya bersekolah. Khairul Ashraff berjumpa dengan guru sekolah supaya anaknya dapat dikecualikan daripada menyertai aktiviti luar dan pendidikan jasmani.

"Anak-anak saya akan bercampur dengan kanak-kanak lain yang tidak berpuasa, jadi saya harap mereka mampu menahan dugaan itu. Selain itu, saya juga berjumpa dengan guru mereka untuk menerangkan mengenai puasa, supaya guru tidak berasa pelik melihat masyarakat Islam di sekolah itu tidak makan tengah hari," katanya yang menguruskan anak ketika Salmiah menghadiri kelas di University Queen.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid, berkata umat Islam wajib mematuhi waktu berbuka tempatan masing-masing.

"Selagi negara terbabit mempunyai siang dan malam, mereka perlu melengkapkan puasa mereka, mengikut waktu berbuka. Walaupun berada di luar negara, contohnya memerlukan umat Islam berpuasa melebihi 20 jam, mereka perlu patuh, selagi ia tidak memudaratkan kesihatan," katanya.

32 dibaca
Berita Harian X