Rabu, 24 Jun 2015 | 6:44pm

Taman Botani dibersih setiap hari - Pengarah


PENGARAH Taman Botani Pulau Pinang, Mohd Azwa Shah Ahmad. - Foto Zulaikha Zainuzman

GEORGETOWN: Pengarah Taman Botani Pulau Pinang, Mohd Azwa Shah Ahmad, hari ini menafikan tuduhan bahawa pengurusan taman itu tidak terurus dan seperti tempat pembuangan sampah.

Beliau berkata, tuduhan itu keterlaluan dan tidak berasas kerana pihak Jabatan Taman Botani sentiasa menjalankan kerja pembersihan mengikut kumpulan.

"Sebanyak 12 kumpulan dibahagikan dan setiap kumpulan terdapat purata empat pekerja untuk menjaga kebersihan taman. Pada pukul 7.30 pagi setiap hari, perhimpunan ketua kumpulan diadakan, diberi taklimat dan kerja dilakukan akan diselesaikan antara pukul 4.30 dan 5 petang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi membidas kenyataan pemangku Ketua Wanita Gerakan Pulau Pinang, Hartini Tan yang mengutuk pengurusan Taman Botani, Isnin lepas.

Hartini berkata, Taman Botani kotor, tidak terurus dan beg plastik tergantung di atas pokok serta sampah tidak dikutip selama beberapa hari di pintu masuk utama seperti tempat pembuangan sampah.

Mohd Azwa berkata, beliau tidak menafikan sampah-sampah di kawasan itu tetapi tuduhan menyatakan Taman Botani seperti tempat pembuangan sampah itu tidak dapat diterima.

"Jumlah pengunjung ke Taman Botani dianggarkan 1,000 orang sehari dan mereka ini membawa pelbagai ragam dan reaksi.

"Sebahagian pengunjung yang kurang kesedaran dan kurang bertanggungjawab membuang sampah merata-rata, merosakkan serta mencuri pokok-pokok selain vandalisme di dalam taman juga sering berlaku," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Azwa berkata pihaknya sentiasa peka dan melaksanakan pembersihan di kawasan terjejas serta gotong-royong pembersihan pokok tumbang dan penanaman pokok.

Beliau berkata, RM4 juta dibelanjakan setiap tahun untuk pengurusan termasuk gaji pekerja dan penyelenggaraan. Sebanyak 47 pekerja terbabit dalam pengurusan taman dan landskap.

Mohd Azwa berkata, pihaknya sedang dalam perbincangan melantik beberapa individu yang mempunyai kuasa untuk menyaman orang ramai yang membuang sampah merata-rata atau mencuri pokok di Taman Botani.

- BERNAMA

Berita Harian X