Rabu, 24 Jun 2015 | 11:08am

Zara Zya punyai strategi sendiri atur kerjaya seni


PELAKON, Zara Zya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: "Saya ada strategi sendiri dalam merencana kerjaya seni. Cuma ketika nama saya meledak saat drama Love You Mr Arrogant muncul, ia satu kejutan luar biasa apabila saya diangkat terlalu tinggi dan dipuja" kata Zara Zya.

Zara Zya atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 29, tampil untuk menepis dakwaan yang mengaitkan bahawa beliau artis bermusim.

Hanya selepas lebih sedekad menceburi dunia seni, nama Zara Zya atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 29, dilihat baru menyerlah kira-kira tiga tahun lalu.

Watak Zaara Amirah yang dilakonnya menerusi drama Love You Mr Arrogant (LYMA) di TV3 hujung tahun 2013 menerusi slot Akasia ternyata memberi kesan besar buatnya.

Drama arahan Eoon Suhaini itu mendapat rating 4.6 juta penonton. Selain Zara, tempias populariti turut dirasai gandingannya dalam drama itu iaitu Azlee Khairi.

"Tapi saya anggap itu rezeki dan tuah sekali gus menjadi kenangan terindah dalam hidup. Biarpun pada asalnya saya melihat drama itu sebagai pengenalan untuk saya membuktikan bakat yang ada.

"Bukan setakat popular, saya juga diiktiraf dengan beberapa deretan anugerah. Memang selepas drama itu, nama saya dilihat tak terlalu menonjol. Sedangkan saya sibuk memenuhi tawaran berlakon.

"Ada projek lakonan saya yang memakan masa lama dan lewat bersiaran di TV. Saya pun jenis tak tamak menerima tawaran berlakon lebih daripada satu dalam satu masa.

"Selain itu, saya juga menerima tawaran berlakon telefilem yang bersiaran sekitar dua jam di kaca TV. Impak telefilem dan drama ini berbeza terutama pada tempoh siarannya.

"Drama semestinya disiarkan dalam tempoh yang panjang dan terus membuatkan penonton terpaku sekali gus menanti kesudahan cerita jika dari awalan lagi ia sudah mampu menarik perhatian," katanya dalam pertemuan majlis berbuka puasa dan parti meraikan drama Dan Calonnya Adalah 2 yang sudah pun habis siarannya di portal Tonton bersama penaja Ma Cherie baru-baru ini di Plaza Kelana Jaya.

Kedua-dua pelakon ini digilai peminat dan terus mendapat perhatian sehingga disenaraikan dalam final beberapa anugerah dipertandingkan.

Zara sendiri mencipta kecemerlangan apabila menang pelbagai anugerah. Dalam tahun 2014 sahaja sudah empat trofi dimenanginya iaitu Artis Top Top Meletop di Anugerah Meletop Era, Heroin Pilihan (Anugerah Drama Festival KL) dan terbaharu dua kategori menerusi Anugerah Bintang Popular BH 2013 termasuk Artis Baharu Wanita Popular.

Cuma kehangatan nama Zara dilihat tidak berpanjangan kerana tahun lalu namanya dilihat sepi.

Ketika itu, artis baharu Ayda Jebat dilihat mengambil alih tempat yang pernah dikecapinya.

Selepas LYMA, terdapat deretan drama yang sebenarnya membuktikan Zara masih menjadi pilihan untuk bergelar heroin, antaranya drama Delina, Zahira bergandingan dengan Adi Putra.

Selain itu Hidayahmu Ramadan yang disiarkan di TV3 menghiasi slot Samarinda apabila dia berlakon di sisi Aeril Zafril manakala drama Dan Calonnya Adalah 2 di samping Aaron Aziz.

"Drama Delina mungkin penonton tak boleh menerima lagi cerita fantasi. Mungkin juga penonton nak juga tengok saya pegang watak wanita bertudung dan menangis.

"Drama itu biarpun kurang popular tetapi kalau sebut Delina pasti ada yang akan menyebut mengenai karakter watak gadis bernama Delina yang disumpah badannya menjadi mengecil.

"Drama Zahira memang meletup dan mendapat sambutan ramai dan kini saya juga sedang menunggu maklum balas drama Hidayahmu Ramadan yang disiarkan bulan puasa ini. Saya tak kisah sekalipun jarang keluar di kaca TV tetapi sesekali keluar drama lakonan itu akan meninggalkan kesan dan diingati.

"Saya juga takut orang akan cepat jelak kalau selalu keluar di kaca TV. Saya kena jaga kualiti dan sebab itu rehat yang cukup penting. Selalunya kalau habis komitmen sebuah lakonan, saya akan bercuti. Tak kiralah bercuti di tempat menarik atau memerap di rumah sahaja pun, janji saya dapat tenangkan diri dengan berehat," katanya.

Ditanya mengenai Aaron yang pertama kali digandingkan bersama dalam drama Dan Calonnya Adalah 2, Zara menyifatkan hero kegilaan ramai itu seorang yang sangat senang memberikan kerjasama dan selamba.

"Mula takut dan cuak juga apabila dapat tahu akan bergandingan dengannya. Dia popular dan satu nama besar.

"Tapi hari pertama cuti, dia sangat menyenangkan. Dia umpama abang yang baik dan sangat sempoi. Barangkali mereka yang nak tengok Aaron akan tengok saya sekali," katanya.

24 dibaca
Berita Harian X