Rabu, 24 Jun 2015 | 12:05am

Dakwaan rasuah dalam pembelian hartanah di Melbourne disiasat - PM


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata pihak berkuasa negara akan menyiasat dakwaan rasuah membabitkan beberapa individu dalam pembelian hartanah di Melbourne, Australia.

Dalam entri Facebook malam tadi, Perdana Menteri berkata tindakan akan diambil jika berlaku sebarang salah laku dan penyelewengan.

"Berkenaan dakwaan korupsi mengaitkan beberapa individu dalam pembelian hartanah di Melbourne, pihak berkuasa di sini akan menyiasat secara terperinci dakwaan tersebut, dan seandainya ada sebarang salah laku dan penyelewengan, tindakan akan diambil," katanya.

Kenyataan Najib itu merujuk laporan akhbar Australia, The Age bahawa seorang pegawai tinggi MARA, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah.

Akhbar itu mendakwa "sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya" terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandaraya itu pada 2013.

Ketiga-tiga pegawai itu didakwa "membida lebih tinggi" bagi bangunan itu dikenali 'Dudley International House', daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Dudley International House adalah asrama pelajar, dibeli oleh MARA yang menyediakan biasiswa bagi pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.

Bangunan Dudley International House setinggi lima tingkat di pinggiran bandar East Caulfield menempatkan 115 pelajar MARA yang melanjutkan pelajaran di Monash University.

33 dibaca
Berita Harian X