Selasa, 23 Jun 2015 | 11:14pm

3 sekeluarga maut nahas di Rompin


KEADAAN kenderaan yang dinaiki enam sekeluarga selepas bertembung dengan sebuah lori di Jalan Shah Bandar Keratong 3, Bandar Tun Razak dekat Rompin petang tadi. - Foto Zulkepli Osman

KUANTAN: Tiga maut manakala tiga lagi parah selepas Perodua Alza yang dinaiki enam sekeluarga itu bertembung dengan sebuah lori di Jalan Shah Bandar Keratong 3, Bandar Tun Razak dekat Rompin petang tadi.

Mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta, Nor Hafizah Md Nor, 27, dari Felda Keratong 5, ibunya Joharia Darus, 65, (penumpang belakang) dan anak saudara pemandu, Muhammad Farish Ashraf Mohd Faizul, 3, (penumpang belakang).

Mangsa yang cedera parah ialah adik Nor Hafizah iaitu Norizati Md Nor, 26, (penumpang hadapan) serta dua lagi anak saudara pemandu iaitu Muhammad Affar Firdaus Mohd Zaidi, 3, dan adiknya Muhammad Aflan Arif Mohd Zaidi, 2.

Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, DSP Mohd Noor Yusof Ali, berkata pemandu lori berkenaan, Mohd Nur Faizani, 33, hanya mengalami kecederaan ringan.

"Nahas 4.15 petang itu berlaku semasa enam sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Bandar Tun Razak menuju ke Keratong 5.

"Sampai di tempat kejadian, pemandu kereta terbabit dipercayai gagal mengawal kenderaannya dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori berkenaan.

"Akibat perlanggaran itu, kereta yang dinaiki mangsa berpusing dan terbabas ke bahu kanan jalan manakala lori itu berhenti di tengah-tengah jalan," katanya.

Beliau berkata, tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.

Katanya, Norizati dihantar ke Hospital Segamat, manakala dua lagi mangsa yang turut parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk rawatan lanjut.

- BERNAMA

128 dibaca
Berita Harian X