Selasa, 23 Jun 2015 | 10:07pm

Polis Terengganu tingkat rondaan di surau, masjid

KEMAMAN: Polis Terengganu mempergiatkan rondaan di sekitar kawasan masjid dan surau seluruh daerah ini dalam usaha mengekang kejadian jenayah sepanjang malam Ramadan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman, berkata pihaknya akan menempatkan beberapa anggota di kawasan itu bagi mengawal persekitaran ketika umat Islam melakukan solat tarawih.

Katanya, langkah itu bagi mengelakkan individu tertentu mengambil kesempatan melarikan barangan berharga ketika umat Islam sedang beribadah.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan berlakunya kes kecurian motosikal dan pecah cermin kereta di kawasan masjid.

Sehubungan itu, pemilik kereta diingatkan tidak meninggalkan barangan berharga dalam kenderaan ketika hendak menunaikan solat manakala pemilik motosikal dinasihatkan agar menggunakan kunci tambahan.

Rosli berkata, selama seminggu masyarakat Islam menunaikan ibadah puasa, pihaknya sudah menerima beberapa laporan berkenaan kehilangan motosikal dan pecah kenderaan.

- BERNAMA

Berita Harian X