Ahad, 21 Jun 2015 | 1:06pm

Perhebat promosi pelancongan guna media - Raja Muda Perlis


Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

KANGAR: Industri pelancongan hanya akan tumbuh dan berkembang dengan promosi bersungguh-sungguh dilaksanakan khususnya melalui media massa, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Titah baginda, agenda pelancongan tanpa promosi akan menjadi sia-sia dan merugikan rakyat yang bergantung kepada industri berkenaan selain membuang masa, sumber dan kewangan.

"Media menjadi elemen penting yang boleh dan berupaya membantu mencapai hasrat itu di samping promosi oleh kerajaan melalui agensi-agensinya," titah Tuanku Syed Faizuddin dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan Yayasan Tuanku Syed Putra (YSTP) Perlis sempena pelancaran 'Promosi Masakan Perlis di Hatyai Edisi ke-2' yang disempurnakan baginda di Restoran Muslim Kai Tod Decha di Hatyai, petang semalam.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, Perlis amat memerlukan bantuan serta kepakaran media untuk memperkenalkan negeri ini dengan menghasilkan artikel dan disebarkan melalui pelbagai cara termasuk laman web dan blog.

Berangkat sama pada pelancaran itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan yang turut hadir bekas Timbalan Pesuruhjaya Polis Wilayah 9 Thailand, Mejar Jeneral Polis (B) Datuk Pichate Pitisatepan dan Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla DSP Mohammad Shaharul Md Osman.

Promosi itu pada sepanjang minggu pertama Ramadan, dianjurkan pemilik restoran Yutkhala Leattei dan isteri Minna Leattei dengan kerjasama YSTP, Pejabat Tourism Malaysia Perlis, Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Perlis serta Restoran Shamiza Perlis.

Antara menu Perlis yang disajikan ialah ayam masak ros Jejawi, gulai tulang rebung Arau, kurma daging Simpang Empat, pajeri nanas Chuping dan ikan pekasam Tasoh.

Restoran Muslim Kai Tod Decha adalah restoran keempat di Thailand yang mempromosikan masakan Perlis selepas Restoran Sami (Hatyai) dan dua di wilayah Satun, Krabi Front Bay Resort dan D'Andaman.

Terdahulu baginda berdua yang diiringi 60 orang peserta dari Perlis singgah di Sekolah Pengajian Agama Thamsuksa Mulniti Hatyai, satu-satunya sekolah agama (Islam) dalam kawasan bandar untuk menyampaikan sumbangan bersempena Ramadan. - BERNAMA

12 dibaca
Berita Harian X