Ahad, 21 Jun 2015 | 12:05am

Leka dihembus bayu laut di Pulau Tenggol

 

PULAU Tenggol yang terletak kira-kira 45 minit dari Kuala Dungun, Terengganu itu, kini semakin dikunjungi pelancong luar untuk aktiviti selam skuba bagi menjejaki khazanah terumbu karang.


SELAM skuba antara aktiviti popular di Pulau Tenggol. - Foto Rosli Ilham

Malah, sebuah bangkai kapal karam berhampiran pulau itu menjadi tempat beribu spesies ikan bermain, sekali gus menjanjikan pemandangan dan keseronokan.

Sebanyak 20 lokasi tempat menyelam yang menarik berada di sekitar pulau terbabit antaranya, Batu Tokong Laut, Teluk Air Tawar, Tokong Talang, Tokong Burung, Tokong Laut, Teluk Rajawali, Tanjung Sarang Lang dan Batu Cacang.


PULAU Tenggol memang tersohor dengan keindahan terumbu karang di dasar lautnya. - Foto Rosli Ilham

ANTARA spesies ikan yang boleh ditemui di pulau ini. - Foto Rosli Ilham

Walaupun kurang popular berbanding Pulau Perhentian di Besut, Pulau Redang di Setia atau Pulau Kapas di Marang yang sering jadi sebutan serta tumpuan pelancong, hakikatnya Pulau Tenggol memiliki khazanah laut yang hebat dan indah.

Bukan saja dipenuhi ribuan spesies ikan dan batu karang yang indah dan sekiranya bernasib baik, penyelam akan dapat menemui pelbagai spesies penyu dan yu paus besar serta cantik memakan plankton dan udang kecil di sekitar pulau ini.


SPESIES yu paus besar. - Foto Rosli Ilham

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti laut seperti selam skuba dan snorkeling, Pulau Tenggol adalah satu destinasi terbaik untuk dikunjungi. Keindahan karang yang menyinari dasar laut pulau terbabit membangkitkan keseronokan kepada pencinta aktiviti laut itu.

Kalau tidak berani untuk melakukan aktiviti dalam air, memadai melepak di gigi pantai.


KEBIRUAN air laut di teluk Pulau Tenggol yang menenangkan. - Foto Imran Makhzan

Berlari-lari atau berjalan sambil dihembus angin Laut China Selatan, bermandi manda 'bersama' anak ikan atau melihat pasir sentiasa berubah-ubah kerana diterjah ombak, semuanya sudah cukup mengasyikkan.


PEMANDANGAN menarik di sebahagian persisiran pantai di Pulau Tenggol. - Foto Imran Makhzan

Lebih indah pada waktu senja apabila kita boleh melihat bot nelayan berduyun-duyun balik ke jeti membawa hasil tangkapan.

Jika bercuti membawa anak-anak, pastinya seronok memerhatikan gelagat mereka bermain air di tepi pantai. Apabila penat, boleh berkelah atau menjamu selera di restoran berhampiran.


PENGUNJUNG menikmati keindahan waktu senja sambil berbarbeku. - Foto Imran Makhzan

Begitulah suasananya di Pantai Tenggol ini. Sehari berada di sini keseronokan melihat hidupan laut dengan mata kasar adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Antara hidupan laut terbabit yang sukar ditemui di tempat lain ialah karang lembut, siput laut, rumpai laut, ikan tudung periuk atau telinga gajah, penyu laut, ikan inggu, ikan becok, ikan nemo dan yu paus.

Tiga syarikat yang mengusahakan chalet di pulau terbabit menyediakan pelbagai pakej menarik bagi memberi kemudahan kepada pelancong menikmati percutian yang menjanjikan ketenangan dan keseronokan.

Tutup pada musim tengkujuh

Bagi mereka yang ingin menikmati percutian itu bolehlah menggunakan jeti bot ekspres di Kampung Rajawali berhampiran Kuala Dungun.

Pengurus Tenggol Coral Beach Resort, Wong Kuk Yew, berkata pihaknya mengenakan bayaran RM160 sehari termasuk perkhidmatan selam skuba termasuk bot pergi dan balik dan makan tengah hari.


JETI Rajawali di Kuala Dungun. - Foto Rosli Ilham

Bagi mereka yang berminat untuk menginap di chalet terbabit, pakej sebanyak RM450 seorang dikenakan termasuk selam skuba, makan pagi, tengah hari dan makan malam.

"Antara Mac hingga September, resort kami menerima tempahan yang menggalakkan daripada pelancong dalam dan luar negara, terutama dari China, Amerika, Belanda dan Australia," katanya.

Bagi mereka yang tidak mahu menginap di pulau terbabit bolehlah menginap di Kuala Dungun yang menyediakan banyak hotel bajet seperti hotel Universiti Teknologi Mara (UiTM), YY Gemilang Resort dan Hotel Sura pada harga sekitar RM120 sehari.

Mereka yang datang dari jauh yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres bolehlah terus berhenti di stesen bas Kuala Dungun dan hanya dua kilometer boleh sampai ke jeti di Rajawali sebelum menaiki bot ke Pulau Tenggol.

Bagaimanapun, sekitar September hingga Februari, resort itu ditutup kepada semua pelancong berikutan musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur.

Tempat nelayan berteduh

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, A Rahman Che Ali berkata, Pulau Tenggol juga adalah tempat nelayan berlindung setiap kali mereka dilanda ombak besar dan angin kencang.

Katanya, ini kerana faktor ketinggian pulau terbabit dapat melindungi angin dan ombak kencang. Oleh yang demikian, ia menjadi lokasi yang sesuai untuk nelayan berlindung.


KEINDAHAN pemandangan pulau ini memberikan ketenangan kepada pengunjung.- Foto Imran Makhzan

"Faktor kebersihan pulau ini menjadi keutamaan kami. Selain daripada pengusaha resort, pihak kami juga akan mengadakan gotong-royong membersih pulau terbabit terutama selepas musim tengkujuh yang terdapat banyak sampah di persisiran pantai," katanya.

Rahman berkata, pihaknya juga menghargai beberapa syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan yang terdiri daripada pasukan menyelam datang menyelam di Pulau Tenggol untuk membersih sampah sarap yang berada di dasar laut.  

Berita Harian X