Sabtu, 20 Jun 2015 | 12:04am

Stres punca uban


KEBANYAKAN orang Asia mula beruban pada umur akhir 30-an.

RAMBUT diibaratkan sebagai mahkota bagi individu, tidak kiralah seorang lelaki atau wanita. Semakin meningkat usia, individu berhadapan beberapa masalah rambut antaranya keguguran, botak, rambut bercabang dan tidak kurang juga yang mempunyai rambut beruban.

Rambut beruban sering berlaku dalam kalangan mereka yang sudah berusia. Ada juga segelintir individu yang sudahpun mempunyai rambut beruban sebelum tua.

Pakar Sakit Kulit Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Nazirin Ariffin, berkata kebanyakan orang Asia mula beruban pada umur akhir 30-an.

"Ada segelintir individu yang akan mengalami uban yang ketara apabila umur mencecah 50-an.

"Bagaimanapun, ada juga mengalami masalah uban walaupun usia masih muda dan belum mencecah 30 tahun.

"Walaupun kelihatan janggal, tetapi kebanyakan rambut beruban sebelum tua tidak ada kaitan dengan masalah dalam tubuh," katanya kepada BH, baru-baru ini.

Dr Nazirin berkata, rambut bertukar menjadi putih apabila sel yang mengeluarkan pigmen melanocytes (sel kulit khusus yang mengeluarkan pigmen melanin untuk rambut) berhenti menghasilkan pigmen berkenaan.

"Rambut beruban juga terjadi disebabkan kerosakan pada sistem penghantaran pigmen dari akar rambut ke sel keratinocytes (sel kulit muda) di batang rambut," katanya.

Faktor genetik antara cepat beruban

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Dr Nazirin berkata punca sebenar rambut beruban sebelum usia masih tidak dapat dipastikan.

"Bagaimanapun, faktor genetik memainkan peranan dalam masalah berkenaan. Jika ibu atau ayah mempunyai masalah ini, ada kemungkinan ia akan berlaku kepada anak mereka.

"Ada juga beberapa penyakit genetik yang menyebabkan uban sebelum tua seperti Sindrom Down, Progeria dan Sindrom Rothmund Thompson.

"Ada sesetengah pakar berpendapat faktor tekanan mempercepatkan proses rambut beruban ini beberapa tahun lebih awal. Bagaimana ia berlaku masih tidak diketahui," katanya.


RAMBUT beruban sering berlaku dalam kalangan mereka yang sudah berusia.

Kekurangan protein antara punca uban

Tambahnya lagi, mereka yang mempunyai masalah alopecia areata (keguguran rambut), kekurangan vitamin B12, sopak, masalah kelenjar pituari dan tiroid berpotensi menghadapi masalah rambut beruban.

Beliau berkata, rambut beruban terlalu awal juga boleh berlaku kepada mereka yang menghadapi kekurangan protein berpanjangan seperti dalam masa kebuluran; penyakit celiac (penyakit yang mana usus kecil tidak dapat mencerna protein tertentu); kekurangan zat besi dan zat tembaga yang terlalu ketara di dalam tubuh.

"Sesetengah ubat boleh menyebabkan uban sebelum tua, seperti chloroquine (digunakan untuk mengelakkan malaria) dan interferon-alpha (protein buatan yang dihasilkan badan untuk melawan jangkitan) di samping penggunaan sesetengah bahan kimia seperti dithranol.

"Beruban sebelum tua juga dilaporkan dalam beberapa kes cystic fibrosis, Hodgkin's limfoma dan HIV. Ada juga beberapa penyakit genetik yang boleh menyebabkan uban sebelum tua," katanya.

Tiada bukti saintifik uban dengan banyak berfikir

Dr Nazirin menjelaskan, sehingga kini masih tidak ada bukti saintifik mengaitkan faktor banyak berfikir dengan masalah uban.

Beliau berkata, pakar yakin bahawa hormon tekanan mungkin menyebabkan keradangan yang menggalakkan pengeluaran radikal bebas. Ini memberi kesan negatif kepada jangka hayat atau aktiviti sel pigmen melanocyte.

"Ini akan menjejaskan sistem penghantaran pigmen ke sel keratinocyte pada batang rambut," katanya.

Rambut beruban boleh diatasi

Beliau berkata, jika masalah uban disebabkan kekurangan vitamin B12, zat besi, zat tembaga, atau protein yang ketara, keadaan ini boleh diatasi.

Setakat ini, katanya, tidak ada ubat yang efektif. Beberapa kajian menunjukkan pengambilan paminobenzoic acid (PABA) pada dos yang tinggi boleh menjadikan rambut hitam semula.

Bagaimanapun, rambut beruban semula jika ini tidak dimakan selepas dua hingga empat minggu.

"Bagi kebanyakan orang, penggunaan pewarna dapat menyembunyikan rambut beruban. Pengguna boleh menggunakan pewarna kekal, separuh kekal atau inai. Ini hanya untuk mereka tidak mempunyai banyak uban.

"Selain itu, terdapat beberapa rawatan tradisional yang boleh dilakukan di rumah walaupun tidak dibuktikan secara saintifik, "Antaranya denga n menggunakan gabungan daun kari dengan minyak kelapa atau dadih. Ada juga menggunakan gooseberi India dan campuran minyak bijan, lobak dan fenugreek dengan meletakkan ramuan ini di atas kepala," katanya.

Hilang keyakinan diri

Umurnya baru 17 tahun, tetapi sudah beruban sejak berusia 12 tahun lagi. Hanya mahu dikenali sebagai Zuhdi, pelajar Tingkatan Lima itu terus bergelut dengan masalah rambut beruban sebelum tua.

Pada mulanya, beliau berkata keluarga mula menyedari rambutnya beruban. Dia tidak mengambil endah teguran mereka kerana beranggapan ia bukan satu masalah.

Apabila mula memasuki sekolah menengah, katanya uban jelas kelihatan. Pada masa itu, dia mula hilang keyakinan diri dan akan sentiasa mengenakan songkok ketika di sekolah.

"Jika keluar bersama kawan dan keluarga pula, saya akan sentiasa memakai topi untuk menutup rambut saya. Saya sendiri tidak tahu apa yang menyebabkan rambut beruban kerana ayah yang sudah berusia 55 tahun tidak mempunyai uban.

Potong pendek rambut

"Begitu juga dengan abang saya yang berusia 27 tahun, rambutnya juga hitam seperti orang normal," katanya.

Bagi mengelakkan uban jelas kelihatan, Zuhdi berkata, dia akan memotong pendek rambut gaya askar.

"Ada juga beberapa orang kawan saya yang mempunyai uban di rambut mereka, tetapi tidak banyak seperti saya," katanya.

"Walaupun kadang-kala saya diejek dan dipanggil 'si uban', saya tidak kisah dan menganggap itu antara cabaran yang perlu dilalui," katanya yang berasal dari Pahang.

INFO

  • Rambut bertukar menjadi putih apabila sel yang mengeluarkan pigmen melanocytes (sel kulit khusus yang mengeluarkan pigmen melanin untuk rambut) berhenti menghasilkan pigmen berkenaan.

Berita Harian X