Jumaat, 19 Jun 2015 | 4:04pm

Universiade Gwangju: Kontinjen negara sasar satu emas

PUTRAJAYA: Kontinjen Malaysia mensasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas pada temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Gwangju, Korea Selatan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Universiade bagi kontinjen Malaysia, Hazally Jali berkata sasaran itu bagaimanapun tidak diletakkan secara khusus ke atas mana-mana acara.

"Universiade di Kazan pada 2013, kita menang tiga gangsa melalui sukan badminton. Jadi, saya harap di Gwangju nanti kontinjen mampu beri keputusan lebih baik.

"Ini adalah sasaran yang sederhana, namun kita harap akan memperoleh emas pertama tahun ini. Sukan memanah antara sukan yang boleh diletakkan harapan tinggi, selain badminton," katanya di sini hari ini.

Hazally berkata, pihaknya yakin dengan sasaran berkenaan berdasarkan prestasi ditunjukkan oleh atlet negara ke Sukan SEA di Singapura, apabila 193 daripada 641 mereka yang ke temasya itu adalah wakil institut pengajian tinggi (IPT).

Katanya, 55 peratus jumlah pungutan pingat pada Sukan SEA yang berakhir Selasa lalu disumbangkan oleh atlet IPT dan kontinjen negara mengakhiri cabaran di Singapura dengan membawa pulang 62 pingat emas, 58 perak dan 66 gangsa.

"Pada penganjuran Universiade kali ini, atlet negara akan diuji cabaran bertanding pada bulan Ramadan. Berikutan itu, kita sudah melantik pakar nutrisi untuk menyediakan makanan yang membekalkan tenaga tinggi bagi memastikan atlet negara kekal cergas walaupun berpuasa.

"Puasa memang tidak dinafikan memang kita ada sedikit kekurangan kerana pertandingan di sebelah siang dan tempoh puasa adalah panjang, puasa lebih lama di sana.

"Tapi pihak kita akan pastikan sekurang-kurangnya makanan yang diambil oleh atlet akan mengekalkan tahap kecergasan, sama taraf dengan keadaan biasa," katanya.

Kontinjen negara terdiri daripada 111 atlet akan menyertai 15 daripada 21 acara sukan yang dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu yang akan berlangsung dari 3 hingga 14 Julai ini.

Malaysia akan bersaing dalam acara bola sepak, badminton, menembak, memanah, golf, terjun, gimrama, gimnastik artistik, olahraga, renang, lawan pedang, taekwondo, rowing, ping pong dan tenis.

Malaysia merekodkan pencapaian terbaik di Shanzhen, China pada 2011 apabila membawa pulang satu pingat perak dan dua gangsa sejak Universiade mula diperkenalkan di Turin, Itali pada 1959.

Pada edisi di Kazan, Rusia (2013), Malaysia meraih tiga pingat gangsa pada sukan dwitahunan anjuran Persekutuan Sukan Universiti Dunia (FISU) itu dengan kedudukan ke-59 daripada 162 negara yang bertanding. - BERNAMA

Berita Harian X