Jumaat, 19 Jun 2015 | 11:46am

Negara tetap ke Universiade Gwangju, berhati-hati MERS-COV


PEKERJA menyembur antiseptik sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penularan virus MERS di Uniplex Art Center di Seoul, Korea Selatan. - Foto AP

PUTRAJAYA: Negara akan tetap menyertai temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Gwangju pada 3 hingga 14 Julai ini, walaupun 24 kematian dilaporkan setakat ini akibat penularan Sindrom Pernafasan Koronavirus Asia Barat (MERS-COV).

Angka kematian terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan pesakit wabak berkenaan adalah sebanyak 166 orang.

Walaupun dengan keadaan membimbangkan itu, penganjuran temasya dwitahunan itu dijamin selamat dan langkah pencegahan diperketat.

Jaminan itu dikeluarkan oleh Persekutuan Sukan Universiti Antarabangsa (FISU) dan Jawatankuasa Penganjur Universiade Gwangju.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Universiade bagi kontinjen Malaysia, Hazally Jali berkata perkara itu juga sudah disahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) Korea Selatan.

"FISU dan GUOC sentiasa memaklumkan mengenai keadaan terkini di Korea Selatan yang sedang diserang virus MERS-COV. Mereka ringkaskan tentang langkah pencegahan yang akan diambil oleh FISU dan tuan rumah.

"Dan pada masa sama, WHO Korea Selatan, yang mengadakan 'join mission' tidak pernah keluarkan kenyataan mengehadkan perjalanan dan aktiviti perniagaan di Korea Selatan, terutamanya di Gwangju.

"Di Gwangju sendiri, tidak ada sebarang kes disahkan mengenai wabak berkenaan. Mengikut WHO lagi, keadaan di Gwangju berada di peringkat pertama iaitu paling rendah (terdedah wabak)," katanya di sini, hari ini.

Hazally berkata atlet yang akan ke Gwangju hanya perlu mempraktikkan langkah pencegahan seperti sentiasa memakai topeng dan mencuci tangan.

Katanya langkah pencegahan seperti itu sering kali diguna pakai pada kejohanan besar bertaraf antarabangsa seperti Sukan Olimpik London pada 2012.

Hazally berkata Gwangju sebagai tuan rumah akan memastikan termometer pemeriksaan inframerah bagi mengesan wabak MERS-COV disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dan di kawasan pengangkutan awam yang akan digunakan atlet dan di perkampungan sukan.

Penganjur juga akan memastikan para atlet tidak ada sebarang interaksi secara langsung dengan penduduk tempatan di samping menyediakan satu pusat MERS-COV dan dua pusat kuarantin sepanjang kejohanan berlangsung.

"Bagi pihak kita pula, kita akan memastikan mana-mana atlet yang demam sebelum bertolak ke Gwangju tidak akan ke sana kerana kita tidak mahu ada atlet dijangkiti virus MERS-COV," katanya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, katanya kontinjen negara terdiri 111 atlet dan 75 pegawai akan melakukan pemeriksaan kesihatan terlebih dulu sebelum dibenarkan ke Gwangju.

Selain itu, dua pegawai perubatan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya, dua pegawai psikologi dan fisioterapi daripada Institut Sukan Negara (ISN) dan tiga tukang urut akan turut serta dalam kontinjen negara, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X