Jumaat, 19 Jun 2015 | 12:12am
BULAN puasa bukan hanya berkisar menu berbuka, tetapi kemampuan menahan nafsu berbelanja.

Menahan lapar siang hari tapi membazir apabila berbuka

NAFSU makan umat Islam terserlah setiap kali waktu berbuka sepanjang Ramadan, menyebabkan berlaku pembaziran makanan yang ketara.


MAKANAN yang masih berbaki ketika tinjauan di sekitar Kampung Baru. - Foto Azhar Ramli

Tinjauan BH di sekitar Kampung Baru, di sini, petang semalam, mendapati ramai yang membeli juadah berbuka yang dijual di bazar Ramadan dan kemudian berbuka di kedai makan berhampiran.


KANAK-KANAK turut serta mengumpulkan bahan sisa pepejal dan bahan kitar semula. - Foto Asyraf Hamzah

Ketika di kedai, mereka memesan beberapa lagi hidangan sehingga meja dipenuhi dengan pelbagai juadah dan minuman. Dilihat dengan mata kasar, tidak mungkin mereka dapat menghabiskan semua makanan berkenaan.

Telahan itu benar kerana sebaik selesai berbuka, rata-rata pengunjung yang kebanyakannya datang secara berkumpulan, sama ada dengan ahli keluarga atau rakan, dilihat terus meninggalkan makanan yang masih berbaki di dalam pinggan bersama air minuman yang hanya separuh diminum.


ORANG ramai membeli makanan untuk berbuka puasa.

Terdahulu BH yang meninjau suasana di bazar Ramadan di situ, mendapati rata-rata pengunjung menjinjing lebih daripada dua bungkus juadah untuk berbuka, sekali gus membuktikan kebenaran kajian mengenai sikap membazir keterlaluan rakyat negara ini ketika bulan puasa.


TINJAUAN mendapati rata-rata pengunjung menjinjing lebih daripada dua bungkus juadah untuk berbuka.

Sementara itu, pekerja sebuah kedai makan yang ditemui juga mengakui, jarang sekali juadah berbuka yang dijual mereka habis dilanggan, sekali gus dibuang begitu saja, terutama lauk berkuah.

"Namun, makanan seperti ikan serta ayam goreng dan bakar yang tak habis dijual akan disimpan dalam peti sejuk dan dipanaskan semula untuk dijual keesokannya. Lauk yang berkuah akan dibuang walaupun masih banyak," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Lela, 38. 


JUADAH berbuka lebihan daripada peniaga dibuang begitu saja. - Foto Azhar Ramli

Pembaziran turut membabitkan minuman seperti dakwaan seorang peniaga berusia 44 tahun yang mengakui, minuman jualannya yang tidak habis, akan dibuang.

"Kalau air tak habis, biasanya kami akan buang," katanya yang menjual 11 jenis minuman di bazar berkenaan dan beroperasi mulai jam 4 petang.

Kelmarin, BH melaporkan kajian syarikat pengurusan sisa pepejal, SWCorp, yang menyatakan sebanyak 1,000 tan makanan dibuang setiap hari di negara ini sepanjang Ramadan. Jumlah itu dikatakan mencukupi untuk menampung keperluan 7 juta penduduk.

Berita Harian X