Khamis, 18 Jun 2015 | 6:44pm

Remaja maut kereta bertembung bas ekspres di Setiu


KEADAAN kereta Produa Kenari yang remuk bertembung dengan sebuah bas di kilometer 43 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Desa Jaya,Sungai Tong, hari ini. - Foto Fauzul Azlan Razak

SETIU: Seorang remaja lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah bas ekspres dalam kemalangan di Kilometer 43, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, berhampiran Kampung Desa Jaya, Sungai Tong, di sini pagi tadi.

Nahas kira-kira pukul 11.25 pagi itu mengakibatkan mangsa Khairul Azwan Azman, 19, terbunuh di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Ab Rahman Raja Mohamed, berkata nahas berlaku apabila mangsa yang berasal dari Bandar Permaisuri di sini cuba memotong sebuah kenderaan lain namun gagal.

Katanya, susulan kejadian itu, Perodua Kenari yang dipandu mangsa telah masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan bas ekspres yang dipandu lelaki berusia 45 tahun yang datang dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu.

"Ekoran daripada kejadian itu, kereta mangsa mengalami kerosakan teruk pada keseluruhan kenderaan manakala bas berkenaan mengalami kerosakan pada sebelah kanan hadapan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketika kejadian, bas ekspress yang membawa seramai 10 penumpang itu dalam perjalanan dari Kelantan untuk menuju ke Johor Bahru.

Beliau, bagaimanapun, berkata semua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Setiu untuk dibedah siasat.

- BERNAMA

Berita Harian X