Selasa, 16 Jun 2015 | 9:12pm

Lelaki lemas terjun sungai elak ditahan polis

ALOR SETAR: Seorang lelaki berusia 25 tahun lemas selepas terjun ke dalam terusan di Kampung Tok Mengkula, Ayer Hitam, Jitra, semalam bagi mengelak ditangkap polis.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Abdul Rahim Abdullah berkata, mayat lelaki itu yang berasal dari Kuala Sanglang, Perlis ditemui oleh anggota bomba dan penyelamat pada 11 pagi tadi.

Beliau berkata dalam kejadian 7.00 malam semalam, polis menyerbu sebuah rumah dan menahan tiga lelaki selepas mendapat maklumat mengenai kegiatan judi dan dadah.

Katanya, ketika ditahan seorang daripada tiga lelaki itu bertindak melarikan diri sebelum bertindak terjun ke dalam sungai di belakang rumah terbabit.

"Ketika itu mangsa hampir lemas dan salah seorang anggota polis bertindak terjun ke dalam sungai tersebut bagi menyelamatkan mangsa tetapi gagal sebelum mangsa terus hilang dalam air," katanya.

Abdul Rahim berkata mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat yang mengesahkan kematian disebabkan akibat lemas.

- BERNAMA

Berita Harian X