Selasa, 16 Jun 2015 | 4:16pm

Tuah Linda Rafar, suami jadi duta Alfio Raldo

KUALA LUMPUR: Pernah bekerjasama dan mempromosikan secara kerjasama dengan jenama tertentu untuk pelbagai produk dari tudung hingga ke makanan kesihatan, kini tuah menyebelahi Linda Rafar untuk bergelar duta rasmi jenama Alfio Rado selama setahun.

Pihak Ixora Corporation tertarik untuk melamar Linda sebagai duta mempromosikan koleksi beg tangan, kasut, jam tangan dan cermin mata.

Lebih mengujakan bukan Linda sahaja malah suaminya, Syed Aiman turut bergelar duta yang sama.

Akui kakak kepada Diana Rafar itu, komitmen sebagai duta itu yang pertama diraihnya bersama suami.

Bagaimanapun akui Linda, dia sangsi pada awalnya kerana tidakkah imej bertudung yang dipraktikkannya itu akan menimbulkan masalah di kemudian hari.

"Terkejut bercampur teruja juga dengan lamaran ini. Tak sangka daripada hadir ke pelancaran awal syarikat ini di Great Eastern Mall bulan lalu, saya kemudiannya dihubungi mereka beberapa minggu selepas itu untuk perbincangan ke arah melantik saya sebagai duta. Pihak mereka berminat dan saya semestinya bersyukur dengan lamaran itu.

"Cuma pada awalnya, saya nyatakan yang diri ini bertudung dan pihak mereka sendiri sudah sedia maklum dengan hal itu.

"Biarpun syarikat itu ditunjangi orang Cina tapi mereka mahu produk ini boleh dipasarkan kepada seluruh masyarakat di negara kita terutama orang Melayu. Jadi semestinya tugas saya sebagai perantara kepada visi mereka," katanya kepada BH Online.

Kata Linda, pada hari perbincangan diadakan dia ditemani suami dan tanpa diduga mereka turut berminat Syed Aiman turut bersama mempromosikan rangkaian cermin mata yang mereka pasarkan. "Tapi saya usulkan kepada mereka alang-alang sudah berdua kenapa tidak kami sama-sama memikul mandat sebagai duta. Akhirnya mereka bersetuju.

"Nampaknya selepas ini kami akan terus 'melekat' bersama-sama untuk menjayakan acara promosi berkaitan yang memerlukan kehadiran kami sebagai duta," katanya yang sudah lapan tahun berkahwin dengan Syed Aiman dan dikurniakan dua orang anak iaitu Syed Rezaqiib dan Syed Rezariiq.

Sebelum Syed Aiman, Linda pernah berkahwin dan dikurniakan dua anak iaitu Rezaril Keflin dan Memen atau nama penuhnya, Rezaimen Keiflin.

Memen meninggal dunia pada usia 11 tahun pada 5 Julai tahun lalu disebabkan barah perut atau 'Burkitt Lymphoma'.

Tambah Linda lagi, jenama Alfio Raldo dari Itali ini adalah jenama tidak asing lagi bagi penggemar fesyen dan sudah bertapak lebih dari 18 tahun.

95 dibaca
Berita Harian X