Isnin, 15 Jun 2015 | 6:21pm

Pekebun kecil perlu usahakan dua tanaman untuk hadapi turun naik harga


PERUSAHAAN Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. - Foto Muhd Asyraf Sawal

SARIKEI: Pekebun kecil di seluruh negara mampu berdepan dengan keadaan turun naik harga sekiranya mereka mengusahakan sekurang-kurangnya dua jenis tanaman, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), kerajaan melaksanakan dasar yang menggalakkan petani menanam dua jenis tanaman untuk membolehkan mereka menjana pendapatan baik.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat kebun lada milik Anggota Parlimen Julau, Datuk Joseph Salang di Km 6, Jalan KJD di sini hari ini, beliau berkata, kementerian itu mensasarkan menjelang 2020, setiap petani mampu meraih pendapatan minimum RM4,000 sebulan.

"Sebagai contoh, sekiranya saudara menanam getah dan lada, saudara boleh bergantung pada lada apabila harga getah jatuh.

"Memanglah terdapat masalah tanah. Tapi, bagi mereka yang memiliki tanah, saya menasihati mereka agar berbuat demikian. Kami juga sedang memikirkan pendekatan lain," katanya.

Mengenai lada, Uggah berkata, dalam tempoh RMK11, kerajaan akan menggalakkan lebih banyak aktiviti pemprosesan hiliran diadakan.

"Sarawak, negeri pengeluar utama lada di negara ini, menghasilkan kira-kira 28,000 tan setahun daripada 16,000 hektar ladang, yang sebahagian besarnya dijual sebagai lada mentah.

"Kami ingin mencapai suatu tahap selepas ini di mana 90 peratus akan dieksport sebagai bahan diproses seperti minyak wangi.

"Ini akan meningkatkan nilai tambah, menjana pendapatan lebih tinggi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi," katanya.

Beliau berkata, dasar serupa juga dilaksanakan bagi komoditi lain seperti koko, sawit dan getah.

Sementara itu, kata Uggah, kebun lada kepunyaan Salang yang mempunyai lebih 7,000 pokok di dua tapak dengan jumlah keluasan kira-kira empat hektar, boleh menjadi nukleus bagi menghasilkan aktiviti pemprosesan hiliran.

Kebun ini adalah kebun bukan komersial terbesar di Sarawak.

Uggah berkata, pekebun kecil di kawasan itu boleh menjalankan perusahaan lain, termasuk menubuhkan koperasi bagi menjadikan usaha mereka lebih berdaya maju. - BERNAMA

Berita Harian X