Ahad, 14 Jun 2015 | 6:02pm

Orang ramai dijemput beri pandangan cadangan penubuhan MTSB

KUALA LUMPUR: Orang ramai dijemput memberikan maklum balas dan pandangan berhubung cadangan penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB), yang bertujuan menjadi pusat sehenti berkaitan keselamatan pengangkutan.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan berkata, dokumen berkaitan cadangan itu berserta deraf Akta MTSB boleh didapati di laman web kementerian iaitu www.mot.my/mtsb dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), www.miros.gov.my/web/guest/mtsb.

Pandangan dan ulasan orang ramai akan diterima secara berterusan selama 30 hari bermula 1 Jun lalu dan boleh disampaikan secara bertulis melalui emel berserta dokumen sokongan ke mtsb@miros.gov.my.

"Pandangan dan maklum balas yang dihantar akan dipertimbangkan oleh kementerian dan MIROS, dan pindaan akan dibuat berdasarkan kajian semula oleh kementerian dan MIROS," kata kenyataan itu hari ini.

Penubuhan MTSB bertujuan menjalankan fungsi penyiasatan yang bebas, penyelidikan, operasi dan pemantauan ke atas semua mod pengangkutan iaitu pengangkutan darat (jalan raya dan rel), maritim (termasuk pengangkutan sungai) dan udara.

Ia adalah satu daripada cadangan penambahbaikan dalam Laporan Panel Penasihat Bebas kepada Menteri Pengangkutan Malaysia berkaitan kemalangan bas di Genting Highlands, yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri Malaysia pada 19 Februari 2014. - BERNAMA

Berita Harian X