Ahad, 14 Jun 2015 | 12:01am
PELBAGAI bentuk wau dapat disaksikan oleh pengunjung. - Foto Owee Ah Chun
PESERTA bersedia melepaskan wau daun yang dipertandingkan pada Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2015 di Pantai Geting.- Foto Owee Ah Chun
PENGERUSI Jawatankuasa Kebudayaan, pelancongan dan Warisan Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman (dua dari kiri) bersedia melepaskan wau puyuh gergasi simbolik pelancaran perasmian penutup Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2015 di Pantai Geting. - Foto Owee Ah Chun
PESERTA dari Brunei yang menyertai Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2015.- Foto Owee Ah Chun

Pesta wau meriahkan Pantai Geting


ORANG ramai membanjiri Pantai Geting untuk menyaksikan pertunjukan wau pada Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2015. - Foto Owee Ah Chun

LANGIT di Pantai Geting, Tumpat sarat diwarnai layang-layang dan wau aneka bentuk dan saiz, menerbitkan kekaguman dalam kalangan pengunjung.

Bukan saja dizahirkan dalam bentuk tumbuhan dan haiwan, ada wau berupa watak adiwira serta animasi kartun yang membuatkan penonton cilik enggan berganjak.

Begitulah situasi yang boleh diperhatikan sepanjang Pesta Wau Antarabangsa Kelantan ke-33 pada 26 hingga 30 Mei lalu.

Sepanjang pesta yang diadakan kerajaan negeri melalui Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan (TIC) itu, sebanyak 25 kategori dipertandingkan, antaranya Wau Bulan Naik Kebangsaan, Wau Kucing, Wau Jala Budi, Wau Puyoh, Wau Daun, Wau Puyuh Sobek, Wau Daun Satu Pancang Meter, Layang-layang Rokkaku Lima Kaki, Wau Bulan Plastik, Wau Bercahaya dan Wau Ciptaan Dua Dimensi (2D).

Selain itu, bengkel membuat wau dan persembahan daripada Stunt Kite, layang-layang formasi serta layang-layang potret turut diadakan peserta tempatan dan luar negara.


PENSYARAH Politeknik Kota Bharu, Junekh Eyat Eng Tian Juan (kanan) bersama pelajarnya menyertai pertandingan wau pada Pesta Wau Antarabangsa Kelantan di Pantai Geting. - Foto Owee Ah Chun

Lebih 400 peserta menyertai pesta wau itu, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), sekolah, institusi pengajian tinggi dan peserta luar negara.

Seramai 45 peserta dari 20 negara seperti Australia, Brunei, Kemboja, China, Indonesia, Jerman, Nepal, Itali, Jepun, Macau, New Zealand, Filipina, Singapura, Sweden dan Switzerland memeriahkan pesta berkenaan.

Pengurus TIC, Zamri Ibrahim, berkata beliau berpuas hati dengan sambutan orang ramai terhadap pesta wau itu dengan 50,000 orang hadir sepanjang lima hari majlis berlangsung.

"Di Kelantan, pesta wau diangkat sebagai satu daripada tiga festival, selain Pesta Gendang Antarabangsa dan Pesta Silat Nusantara," katanya.

Zamri berkata, pendaftaran peserta pesta wau kali ini berkurangan sedikit kerana penganjur mengehadkan layang-layang atau wau berkualiti untuk dipertontonkan kepada pengunjung.


PESERTA dari Indonesia, Endang Ernawati Dradjat, memperagakan waunya yang menjuarai kategori Wau Kreatif Paling Unik. - Foto Owee Ah Chun

Peserta wanita dari Indonesia, Endang Ernawati Dradjat, 64, membuktikan meskipun dirinya sudah berusia lebih separuh abad, beliau masih mampu mengendalikan wau di tengah panas bersama peserta lelaki.

Lebih 25 tahun berkecimpung dalam hobi dan minatnya itu, beliau yang mesra dengan panggilan Ibu Endang sanggup bersara daripada bidang kecantikan untuk memberi fokus dalam pembuatan wau.

Kedatangannya ke pesta wau kali ini ditemani seorang rakan, mempertaruhkan 20 wau hasil rekaannya, termasuk wau tradisional Indonesia yang dipanggil Peniup Seruling.

"Ini bukan kali pertama saya datang ke Malaysia. Tahun lalu, saya juga menjadi peserta pesta wau yang sama.

"Lokasi pantai ini sangat sesuai untuk menaikkan wau dan layang-layang kerana cuaca dan tiupan angin yang baik, berbeza dengan pantai di Indonesia," katanya yang menjadi juara dalam kategori Wau Kreatif Paling Unik.

Pertandingan itu turut menarik minat seorang peserta dari Sarawak, Nurhanisafani Abdullah, 53, yang mempertaruhkan wau rekaannya bersama suami, Mohd Nazari Ismail, 54, yang dinamakan Scorpion.

Mesra disapa Ani, beliau berkata, wau rekaannya itu mengambil masa dua bulan untuk disiapkan dan menelan kos kira-kira RM1,500.

"Kami membeli bahan asas membuat wau, manakala rekaan dan idea menghiasnya adalah cetusan bersama.

"Wau bercahaya kali ini adalah lebih besar berbanding tahun lalu, malah kami meletakkan lampu yang lebih banyak iaitu 400 biji bagi menyerlahkan lagi cahayanya ketika diterbangkan," katanya yang juga ahli Persatuan Wau Sarawak (PEWASA).


PESERTA antarabangsa dan tempatan memperagakan wau kepada pengadil. - Foto Owee Ah Chun

44 dibaca
Berita Harian X