Sabtu, 13 Jun 2015 | 4:29pm

Qari pertama AS syukur sertai tilawah di Malaysia


YOUSEEF Edghouch.

KUALA LUMPUR: Terpaksa menunggu lebih setahun untuk kelulusan menyertai tilawah al-Quran peringkat antarabangsa tidak mematahkan semangat Youseef Edghouch, 28, dari Amerika Syarikat (AS) untuk menjadi qari pertama negara itu.

Beliau yang juga guru agama dan memiliki sekolah al-Quran di Los Angeles, California, AS, berkata kekurangan majlis tilawah di negaranya membataskan peluangnya untuk mengasah bakat menyertai pertandingan lebih besar terutama di peringkat antarabangsa.

Katanya, tidak ramai yang berminat untuk mengambil bahagian dalam tilawah di negaranya kerana kaedah bacaan di sana adalah berbeza.

"Kebanyakan mereka lebih gemar mempelajari ilmu agama Islam saja berbanding masuk pertandingan kerana kurang guru terlatih mengajar lagu atau taranum membaca al-Quran," katanya ketika ditemui di Hotel Sunway Putra, baru-baru ini.

Youseef adalah antara 70 peserta Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-57 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula Rabu lalu.

Katanya, sejak kecil lagi beliau memang berminat menyertai tilawah al-Quran dan gembira apabila berjaya mewakili AS buat kali pertama di majlis tilawah al-Quran peringkat antarabangsa kali ini.

Selain perlu memperbaiki taranum, untuk menyertai tilawah antarabangsa di Malaysia juga bukan mudah bagi Youseef kerana perlu mendapatkan beberapa kelulusan.

Youseef yang lahir di Maghribi tetapi dibesarkan di AS berkata, antara cabaran menyertai tilawah al-Quran itu adalah apabila beliau terpaksa menunggu selama satu tahun untuk permohonannya di sana diproses.

"Saya ke Los Angeles untuk membuat rundingan dengan pegawai di sana supaya memberi peluang menyertai tilawah al-Quran peringkat antarabangsa ini.

"Selepas setahun, penantian saya berbaloi apabila akhirnya saya dibenarkan menyertai tilawah ini," katanya sambil menambah beliau mempelajari taranum daripada abangnya yang juga imam di sebuah masjid di AS.

Dalam pada itu, Youseef berkata, pegangan kepada al-Quran menjadi sandaran kekuatan untuknya menyebarkan Islam di AS bermula di sekolahnya yang kini mempunyai lebih 200 pelajar.

33 dibaca
Berita Harian X