Sabtu, 13 Jun 2015 | 12:03am

Kutil hodohkan kulit


KUTIL ialah sejenis tumor kulit yang terhasil akibat lapisan luar kulit yang tebal dan berlebihan.

CUBA anda raba di tepi mata atau di bawah leher kerana mungkin anda akan perasan terdapat biji kecil yang dipanggil kutil.

Hendak dikatakan jerawat bukan pula, kerana jerawat akan kering dan tertanggal tetapi yang ini terus kekal dan kemungkinan boleh membesar.

Hakikatnya, kutil yang bermula dengan bintik halus atau tompok kecil di permukaan kulit membawa kepada rasa jijik dan kegatalan jika sistem ketahanan tubuh tidak berupaya mengekang pertumbuhannya.

Kewujudan tidak disedari

Wujudnya tidak sedari, malah kalau kelihatan pun, mungkin juga segera dilupakan kerana disangka tidak memberi apa-apa kesan berpanjangan walaupun ada sesetengah kes boleh menyebabkan keadaan bertambah buruk.

Lebih membimbangkan apabila kutil ini ditemui di bahagian lain pada tubuh seperti di mata, dada, ketiak, kemaluan, leher dan tengkuk.

Kutil pelbagai saiz

Perunding Dermatologi, Pusat Perubatan Pantai Cheras, Kuala Lumpur, Dr Ruban Nathan, berkata kutil ialah sejenis tumor kulit yang terhasil akibat lapisan luar kulit yang tebal dan berlebihan.

Katanya, kutil berpunca daripada Human Papilloma Virus (HPV), yang menyerang kulit apabila berlakunya pembentukan kutil terdiri daripada pelbagai saiz, sama ada sekecil pasir hinggalah sebesar biji kacang.

Dr Ruben berkata, pakar sains mengenal pasti lebih daripada 100 jenis virus unik dan kebanyakan orang pasti mempunyai sekurang-kurangnya satu kutil biasa dalam hidup mereka, biasanya pada tangan.

HPV juga kata beliau, boleh merebak dan berjangkit menerusi perkongsian tuala atau pakaian, lebih-lebih lagi di tempat awam seperti rumah kelab dan pusat kecergasan.

"Cara paling biasa dijangkiti virus itu melalui sentuhan kulit dengan kulit. Anda juga boleh dijangkiti virus daripada benda seperti tuala yang digunakan mereka mempunyai kutil.

"Kemungkinan kanak-kanak mendapat kutil kulit lebih tinggi daripada orang dewasa mungkin disebabkan sistem imun mereka yang masih lemah. Jumlah ketumbuhan daripada 20 hingga 100 kutil. Jika tidak dibuang sebaik saja tumbuh, kutil akan merebak," katanya.


PAKAR sains mengenal pasti lebih daripada 100 jenis virus unik dan kebanyakan orang pasti mempunyai sekurang-kurangnya satu kutil biasa dalam hidup mereka.

Kutil punca pendarahan

Katanya lagi, jika terlalu besar, kutil boleh menyebabkan kesakitan dan berlaku pendarahan, namun ia bergantung kepada sistem ketahanan tubuh. Jangka hayat kutil pada permukaan kulit berbeza.

"Ada yang akan hilang dengan sendirinya dalam tempoh beberapa minggu manakala ada yang kekal selama bertahun-tahun ataupun hilang dan muncul kembali.

"Kutil mungkin bukan suatu masalah jika jumlah bintik wujud secara tunggal, sedikit dan tidak terasa sakit atau gatal.

Jika bernasib baik, Dr Ruben berkata, sistem imunisasi tubuh dapat merencat pertumbuhannya dan kutil akan lenyap tanpa disedari.

Bagaimanapun, katanya, ia bukan satu perkara main-main jika kutil mengalami perubahan secara fizikal hingga membuatkan kulit kemerah-merahan. Dapatkan rawatan segera jika kutil kelihatan membengkak atau bintik-bintik kasar itu semakin merebak dan menyebabkan rasa gatal.


Dapatkan rawatan pakar

Mengulas lanjut mengenainya, beliau berkata, kutil yang tidak kronik boleh dirawat menggunakan krim retinoid (retin-A, avita) yang menghalang pertumbuhan sel kulit.

Penggunaan asid bichloracetic (BCA) juga katanya, membunuh kutil dengan menghancurkan protein di dalam selnya.

"Nitrogen yang disapu pada kutil boleh menyebabkan kutil menjadi keras dan rapuh. Ini memudahkan doktor membuangnya. Untuk merawat kutil dengan lebih selamat, dapatkan rawatan doktor kerana selain kaedah ini, rawatan laser disifatkan sebagai pilihan yang paling efektif," katanya.

Tompok kecil semakin membesar

Meskipun baru berusia 33 tahun, Halina seperti berusia dalam lingkungan 40-an dan kelihatan tua kerana masalah berkaitan kutil di bahagian bawah matanya yang dihadapinya sejak dua tahun lalu.

Pada mulanya, kutil itu hanya sekadar tompok kecil, namun ia bertambah besar hingga membuatkannya kelihatan hodoh kerana saiznya yang agak besar.

Bimbang dengan keadaan itu, Halina mencuba pelbagai produk pelenyap kutil di pasaran. Dia enggan berjumpa doktor atau pakar kulit kerana menganggap kutil ini sekadar masalah kecil.

Bagaimanapun, dia akhirnya mengambil keputusan berjumpa dengan perunding dermatologi atas nasihat keluarga setelah kutil itu bertambah besar dan kemerah-merahan.

Awas ubat pelenyap

Doktor memberitahunya bahawa ubat pelenyap kutil yang ditawarkan di pasaran mungkin berbahaya jika seseorang tersilap cara penggunaannya. Misalnya jika disapukan di permukaan sensitif akan merosakkan kulit.

Kini, Halina berjaya menghilangkan kutil di kelopak matanya dan sedar bahawa masalah sedemikian perlu mendapat perhatian pakar kulit.

INFO

  • Kutil dalam istilah perubatan disebut Papilloma.
  • Ia sejenis tumor pada kulit yang terhasil akibat penebalan lapisan luar kulit yang berlebihan.
  • Bentuk kutil terdiri daripada pelbagai saiz, sama ada sekecil pasir hinggalah sebesar biji kacang.
  • Kutil yang tidak kronik boleh dirawat menggunakan krim retinoid (retin-A, avita) yang menghalang pertumbuhan sel kulit, asid bichloracetic (BCA) yang membunuh kutil dengan menghancurkan protein di dalam selnya.
  • Kemungkinan kanak-kanak mendapat kutil kulit lebih tinggi daripada orang dewasa mungkin disebabkan sistem imun mereka yang masih lemah.
  • Pakar sains mengenal pasti lebih daripada 100 jenis virus unik dan kebanyakan orang pasti mempunyai sekurang-kurangnya satu kutil biasa dalam hidup mereka, biasanya pada tangan.
  • Cara paling biasa dijangkiti virus itu melalui sentuhan kulit dengan kulit.

Berita Harian X