Jumaat, 12 Jun 2015 | 8:12am

PAS tak malu kekal 4 ahli majlis: Guan Eng


KETUA Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

GEORGETOWN: Keengganan kepemimpinan baharu PAS untuk mengarahkan wakil parti itu meletakkan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang adalah sangat memalukan, kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Malah, katanya tindakan empat Ahli Majlis PAS dalam Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai mempertahankan jawatan mereka merendahkan maruah dan penghormatan kepada PAS di mata orang ramai.

"Saya ingin menyatakan bahawa kerajaan negeri mempunyai hubungan kerja yang rapat dengan ahli biasa PAS di Pulau Pinang. Malangnya, kepemimpinan PAS yang baharu dan penyokong mereka di Pulau Pinang masih tanpa segan silu memegang jawatan kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan, semalam.

Masih pertahan jawatan

Antara empat ahli majlis terbabit ialah Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Omar Hassan; Yang Dipertua PAS Tanjung, Yaacob Omar; Ketua Markas PAS Bukit Gelugor, Mohd Nasir Yahya dan ahli PAS Kepala Batas, Dahalan Fazil.

Dewan Ulama PAS pada 3 Jun lalu sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk memutuskan hubungan dengan DAP dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 tanpa bahas, namun akan meneruskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata pemimpin PAS bukan sayangkan jawatan kerana belum melepaskan jawatan, sebaliknya tiada keputusan daripada Majlis Syura Ulama setakat ini.

Justeru, katanya, Guan Eng tidak perlu mengajar PAS, sebaliknya mereka bersedia berbuat sedemikian sekiranya tiba pada waktunya.

"Sehingga kini, belum ada keputusan muktamad berhubung isu berkenaan dan usul dibentangkan pada muktamar hanya bersifat cadangan kepada Majlis Syura.

"Kita tunggu keputusan Majlis Syura sebelum tindakan susulan diambil. Sekiranya Majlis Syura berpendapat kita perlu memutuskan hubungan dengan DAP, pada waktu itu kita akan arah dan minta semua letak jawatan," katanya.

Berita Harian X