Jumaat, 12 Jun 2015 | 12:01am

Takut berkhatan

SOALAN: Anak lelaki saya berusia 11 tahun tetapi masih takut untuk bersunat. Dua tahun lalu ketika ingin disunatkan, ada kejadian tidak diingini berlaku hingga membuatkannya trauma sehingga ke hari ini. Apa perlu saya buat untuk kembalikan semangatnya?

Mohd Khairul Azlan Halim,

Ipoh, Perak.


IBU bapa perlu menjelaskan kepada anak kelebihan bersunat bagi menghilangkan rasa takut mereka.

Kanak-kanak umumnya mudah terpengaruh. Anak mungkin terpengaruh dengan cerita menakutkan, kononnya bersunat itu sangat menyakitkan.

Setiap kanak-kanak tidak suka sakit. Sedangkan hakikatnya, bersunat pada zaman moden kini tidak sakit.

Kanak-kanak juga pantang diumpan dengan hadiah. Apa yang penting, umpan itu mestilah yang boleh mempengaruhi kanak-kanak itu. Hanya ibu bapa saja yang tahu kehendak dan kemahuan anaknya. Apabila adanya imbuhan, kanak-kanak akan bermotivasi tinggi dan bersedia disunatkan.

Kanak-kanak juga pantang dicabar. Jika dicabar, sesiapa yang ingin menjadi Muslim hendaklah bersunat, anak pasti akan bermotivasi untuk disunatkan. Jelaskan kepada anak jika tidak bersunat, akan berdosa dan dimasukkan ke dalam neraka. Hanya Muslim yang jahat dan jahil saja yang tidak mahu bersunat.

Logiknya, tiada kanak-kanak yang ingin jadi jahat dan mereka tidak akan mahu masuk neraka kerana berdosa. Akhirnya, anak pasti akan menyahut cabaran untuk disunatkan.

Saya nasihatkan, supaya jangan terlalu melihat masalah anak itu lebih besar daripada diri anda. Nanti, anda pula yang kelihatan trauma. Sebagai orang Islam mesti faham konsep hidup. Setiap musibah, kesulitan dan ketakutan hanya boleh diatasi dengan iman serta takwa.

Anak anda tidak trauma sebenarnya, tetapi hanya bimbang sikit. Anak mungkin berasa bimbang sebab hampir semua kanak-kanak selesai bersunat dilihatnya, berwajah gering, sedih, takut dan penuh sengsara. Jarang dilihat, ada kanak-kanak bersunat berperawakan sangat riang dan menyanyi riang ria.

Sebagai bapa, jangan mudah menggelabah. Jangan melihat keletah dan ketakutan anak terhadap sesi bersunat sebagai ancaman. Lihat dan hadapi kenyataan anak anda adalah normal serta sihat. Anak hanya bersikap selari dengan kebanyakan kanak-kanak Muslim di Malaysia, iaitu "Takut dengan risiko bersunat, tetapi tak sabar nak jadi orang dewasa yang hebat."

Katakan kepada anak dengan nada yang lemah lembut, bisikkan kepadanya "Hidup adalah perjuangan. Perjuangan adalah lumrah kehidupan. Orang yang tak berani berjuang, dia akan tergolong dalam kalangan insan yang hina dan akan dilaknat Tuhan".

49 dibaca
Berita Harian X