Rabu, 10 Jun 2015 | 5:22pm
KETUA Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Kes saman Guan Eng kekal di KL

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah yang difailkan dua Ketua UMNO Bahagian Pulau Pinang dan sebuah syarikat pemaju perumahan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung dakwaan penjualan tanah orang Melayu di negeri itu akan diteruskan di Mahkamah Tinggi di sini.

Ini berikutan keputusan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera yang menolak permohonan Guan Eng supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk dibicarakan.

Peguam Datuk Abu Bakar As-Sidek yang mewakili syarikat pemaju, Maison Height Sdn Bhd dan dua Ketua UMNO Bahagian Pulau Pinang, memberitahu pemberita bahawa Hakim Vazeer Alam membuat keputusan itu di dalam kamarnya hari ini dan dihadiri peguam S Sivaraja bertindak bagi pihak Lim serta empat defendan lain.

Mahkamah juga menetapkan 22 Jun untuk pengurusan kes.

Pada Mac lalu, Guan Eng memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk dibicarakan atas alasan saksi-saksi yang terlibat dan tanah yang dipersoalkan itu, melibatkan negeri berkenaan.

Saman itu difailkan pada 30 Januari lepas oleh Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir yang juga Setiausaha UMNO Negeri, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Datuk Omar Faudzar, serta Maison Height Sdn Bhd selaku plaintif.

Selain Guan Eng, pihak plaintif turut menamakan TMI Dot Com Sdn Bhd selaku pemilik portal Malaysia Insider, Jahabar Sadiq (Editor Malaysia Insider), Mkini Dotcom Sdn Bhd (pemilik portal Malaysiakini) dan Stevan Gan (Editor Malaysiakini) sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, semua plaintif mendakwa Guan Eng telah mengarang sebuah artikel bertajuk 'Pembohongan UMNO' dan kemudian telah diterbitkan oleh Malaysian Insider pada 27 November tahun lepas di bawah tajuk 'Stop Spreading Lies about Penang Government, Guan Eng tells UMNO'.

Pada hari berikutnya, Lim sekali lagi didakwa berniat jahat menyebabkan artikel 'UMNO made profits by selling Malay kampungs' diterbitkan di portal Malaysiakini.

Semua plaintif mendakwa tiga artikel tersebut membawa maksud bahawa syarikat Maison Height adalah sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan dengan niat menipu dalam transaksi jual beli tanah di Balik Pulau dan mengaut keuntungan daripada hasil jualan itu.

Mereka juga mendakwa artikel berkenaan membawa maksud Musa dan Omar telah mengkhianati orang Melayu dan sengaja mengaburi mata rakyat serta tidak boleh dipercayai selain mendakwa semua plaintif dikecam teruk dalam media sosial dan media massa berikutan penerbitan perkataan fitnah itu.

Semua plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan satu injunksi untuk menghalang defendan menerbitkan artikel itu secara lisan atau melalui media cetak serta internet.

- BERNAMA

Berita Harian X