Selasa, 9 Jun 2015 | 11:13pm

Jambatan Kedua PP ditutup sempena Larian Maraton Ahad ini

GEORGETOWN: Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) dan beberapa jalan menuju ke jambatan itu akan ditutup serentak sempena Larian Separuh Maraton Jambatan Pulau Pinang 2015 pada Ahad ini.

Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata semua trafik dari PLUS Expressway menghala ke pulau akan dilencongkan ke Jambatan Pulau Pinang dan sebaliknya.

Jalan tersebut akan ditutup dari 12.01 tengah malam hingga 11 pagi sebelum dibuka semula kepada lalu lintas pada 11.01 pagi hari yang sama.

"Mereka yang menghala ke Taman Perindustrian Batu Kawan dan Simpang Ampat dikehendaki menggunakan susur keluar di Plaza Tol Tambun di EXIT 158," kata kenyataan itu.

JKSB memohon maf atas kesulitan dan menasihatkan pengguna mematuhi isyarat papan tanda dan peraturan trafik atau merancang perjalanan untuk mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Acara anjuran, Pembangunan Pelancongan Pulau Pinang, itu adalah sempena Persidangan Association of International Marathons and Distance Races (Aims) Asia-Pacific pada Jumaat dan Sabtu ini. - BERNAMA

Berita Harian X