Selasa, 9 Jun 2015 | 1:34pm

Kehangatan pembelian pemain ke EPL bagi musim 2015/2016 mula terasa

LONDON: Kurang dua minggu selepas kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menobatkan Chelsea selaku juara, berakhir, berapa beberapa nama besar bola sepak dunia sedang kuat dikaitkan dengan perpindahan ke liga berprestij di Eropah itu.

Antara yang menjadi tumpuan ialah pemain Juventus, Paul Pogba; penyerang Real Madrid, Karim Benzema dan bekas pemain Chelsea, Kevin De Bruyne.

Kelab-kelab gergasi Inggeris seperti Manchester United, Manchester City, Liverpool, Arsenal dan Chelsea ketika ini dikatakan amat memerlukan 'tenaga baharu' tambahan bagi bersaing di pentas Eropah.

Pada musim lalu, tiada kelab Inggeris termasuk Chelsea berjaya melangkah ke saingan suku akhir kempen elit itu, apabila tersingkir di peringkat 16 terakhir.

Kelab Itali, Juventus berjaya mencipta pembaharuan manakala Sepanyol terus di dominasi dua gergasi iaitu Barcelona dan Real Madrid.

Jerman pula terus dibayangi Bayern Munich dengan Perancis mengharapkan Paris Saint-Germain (PSG) dengan semua tampak lebih berkuasa berbanding kelab-kelab gergasi Inggeris.

Berikut senarai pemain yang dikaitkan dengan perpindahan ke EPL, musim panas ini.

PAUL POGBA

Kelab: Juventus

Kos: STG65 juta (RM375.44 juta)

- Manchester City, Manchester United dan Chelsea. Semuanya berminat mendapatkan khidmat pemain tengah tinggi lampai Perancis ini namun ejennya, Mino Raiola menegaskan pilihannya adalah pembida tertinggi.

Selain itu, kelab Perancis, PSG dikatakan berminat selain juara Eropah, Barcelona.

LARS BENDER

Kelab: Bayer Leverkusen

Kos: STG22 juta (RM127.07 juta)

- Bender dianggap 'pelan kecemasan' buat City seandainya mereka gagal mendapatkan Pogba.

Selain City, penyerang Jerman berusia 26 tahun itu turut diminati Arsenal dan Manchester United. Kontraknya bersama Leverkusen masih ada sehingga tahun 2019 namun masalah kecederaan sering membelenggu kerjayanya.

GONZALO HIGUAIN

Kelab: Napoli

Kos: STG37 juta (RM213.71 juta)

- Penyerang Argentina ini mahu meninggalkan Napoli namun kelab Itali itu berat hati untuk melepaskannya jika gagal mendapat sebarang pelaburan.

Berusia 27 tahun, Higuain masih berada dalam radar beberapa kelab ternama antaranya di United. Juara Itali, Juventus menunjukkan minat manakala Arsenal dan Chelsea sedang menilai perkembangannya.

Pengendali Chelsea, Jose Mourinho turut meminatinya ketika bersama Real.

BASTIAN SCHWEINSTEIGER

Kelab: Bayern Munich

Kos: STG8 juta (RM46.20 juta)

- Schweinsteiger menjadi antara pilihan United untuk menambahkan kekuatan di bahagian tengah yang ketika ini turut menimbang untuk mendapatkan pemain Southampton, Morgan Schneiderlin.

Memasuki usia 31 tahun pada 1 Ogos ini, gaji Schweinsteiger bukanlah murah jika United mahukan pilihan yang lebih ekonomi.

KEVIN DE BRUYNE

Kelab: Wolfsburg

Kos: STG45 juta (RM 259.92 juta)

- De Bruyne dinilai sebagai seorang daripada pemain paling menarik di Eropah musim ini dan baharu saja dinobat pemain terbaik liga Jerman, Bundesliga.

Pengarah Sukan Manhester City, Txiki Begiristain sudah bercakap dengan ejennya, Patrick De Koster dan berharap perpindahan akan berlaku namun Wolfsburg mahu kontraknya diperbaharui.

Selain City, Bayern Munich, PSG dan Juventus juga sudah meluahkan rasa minat.

DOUGLAS COSTA

Kelab: Shakhtar Donetsk

Kos: STG24 juta (RM138.61 juta)

- Pemain kelahiran Brazil ini tidak menyembunyikan minatnya terhadap Chelsea dan Mourinho, namun paling awal perpindahan akan berlaku adalah pada Januari nanti.

Liverpool dan Arsenal turut menunjukkan minat terhadap pemain tengah ini yang mempunyai pasport Portugal.

KARIM BENZEMA

Kelab: Real Madrid

Kos: STG35 juta (RM 202.15 juta)

- Penyerang yang mendapat minat semua kelab ternama di EPL selepas dijangka bergelut untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama Real, musim depan.

Pengendali baharu Real, lebih mengutamakan Cristiano Ronaldo selaku penyerang utamanya namun ejen Benzema, Karim Djaziri mengesahkan belum ada kelab dari England sudah menemuinya. United dikatakan paling berminat mendapatkannya.

YOHAN CABAYE

Kelab: PSG

Kos: STG10 juta (RM57.75 juta)

- Pemain tengah ini terdesak untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama bintang PSG dan dijangka ke EPL bersama Crystal Palace yang ketika ini dikendalikan bekas pengurusnya, Alan Pardew.

ANTHONY MARTIAL

Kelab: Monaco

Kos: STG18.5 juta (RM106.84 juta)

- Dianggap masih mentah penyerang Perancis ini masih boleh digilap. Menyinar ketika Liga Juara-Juara Eropah, Martial menjadi pilihan Tottenham Hotspur ketika ini.

CEDRIC SOARES

Kelab: Sporting Lisbon

Kos: STG3.5 juta (RM20.21 juta)

- Pertahanan kanan Portugal ini menjadi perhatian beberapa kelab utama, Arsenal, Barcelona, Wolfsburg dan Schalke namun Stoke City turut berhasrat untuk mendapatkannya.

CRISTIAN BENAVENTE

Kelab: Real Madrid

Kos: STG4 juta (RM23.10 juta)

- Diberi jolokan 'Ronaldinho Peru' ini menyinar di bawah bimbingan jurulatih Zinedine Zidane, namun dia kini memasang hasrat untuk ke West Bromwich Albion di mana pengendalinya, Tony Pulis akan menjadikannya perancang utama kelab itu.

PEDRO OBIANG

Kelab: Sampdoria

Kos: STG4.4 juta (RM25.41 juta)

- Pemain tengah kental dan mempunyai keupayaan teknikal baik ini diasuh daripada Atletico Madrid sebelum berhijrah ke Itali.

Begitupun, destinasi seterusnya pemain berusia 23 tahun ini dikatakan adalah England untuk menyertai West Ham United.

SHINJI OKAZAKI

Kelab: Mainz

Kos: STG9 juta (RM51.98 juta)

- Penyerang antarabangsa Jepun ini menjadi sasaran Leicester City sejak Disember tahun lalu dengan pemain berusia 29 tahun itu dikatakan hampir pasti berhijrah ke Midlands selepas kelab itu menawarkan harga STG8 juta (RM46.20 juta).

FRANCK TABANOU

Kelab: St Etienne

Kos: STG3.5 juta (RM20.21 juta)

- Pertahanan kiri Perancis ini hampir menyertai Swansea pada Januari lalu namun gagal mendapatkan kata putus.

Begitupun, perbincangan baharu mengenainya dikatakan hampir selesai selepas kedua-dua pihak sudah bersetuju dengan syarat masing-masing bagi perpindahan pemain berusia 26 tahun ini. - AGENSI

Berita Harian X