Selasa, 9 Jun 2015 | 12:10am

Shiha Zikir pegang ilmu Kak Pah


KUALA LUMPUR: Lebih 10 bulan biduanita negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar meninggal dunia, namun kenangan berkongsi pengalaman dan bernyanyi bersama terus menjadi memori yang sukar dikikis Shiha Zikir.

Shiha yang pernah berkongsi pentas dan mendendangkan lagu bersama penyanyi bersuara lemak merdu itu ketika menjayakan Mentor musim kelima di TV3 sekitar 2011.

Malah, memori bersama Allahyarham yang mesra disapa dengan nama Kak Pah itu masih berbekas dan terpahat di hati apatah lagi menerusi pertandingan itu, Shiha memenangi tempat kedua.

Shiha mengimbau kenangan sepanjang menyertai pertandingan Mentor itu bersama penyanyi lagu Seribu Mawar yang selesa dipanggil Umi itu kepada BHPlus, baru-baru ini.

"Sejujurnya saya sudah mengalah dan berputus asa untuk menyertai mana-mana pertandingan nyanyian lagi. Saya pernah masuk Akademi Fantasia musim ketiga tetapi hanya mara di peringkat prelud sahaja.

"Seterusnya saya cuba nasib lagi untuk pertandingan yang sama bagi musim berikutnya. Namun ketika itu saya hanya di bawah status simpanan.

SHIHA Mentor pada Majlis Pra-Kemuncak Anugerah Bintang Popular BH 2014 (ABPBH 2014) di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee

"Jadi memang saya sudah tak bersemangat lagi nak masuk pertandingan menyanyi hinggalah program Mentor kelima menamakan Umi sebagai salah seorang Mentor dan ketika itu berdetik di dalam hati teringin sangat nak jadi protegenya.

"Kebetulan uji bakat menjadi protege Umi pada hari terakhir. Jadi nak tak nak, kalau saya tak dapat jadi protegenya memang peluang saya nak jadi protege kepada artis lain takkan ada.

"Alhamdulillah rezeki saya bersama Umi. Ironinya saya masuk Mentor itu sebab Umi. Saya dibesarkan dengan lagu Umi," katanya.

Shiha ditemui ketika terbabit sebagai penari mengisi slot persembahan pada malam kemuncak Festival Tari Malaysia (FESTARI) 2015 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di Auditorium DBKL.

Shiha yang pernah menjadi pengacara Jalan Jalan Cari Makan di TV3 berkata Allahyarham menjadi individu paling penting dalam hidupnya termasuk menjadi sumber rujukan dan mengadu nasib setiap kali berdepan masalah.

"Kalau saya ada masalah contohnya berkaitan urusan kontrak nyanyian atau lakonan, Umilah yang selalu jadi tempat rujuk.

"Saya pernah satu tahap ke rumahnya di Petaling Jaya untuk menunjukkan butiran kontrak yang bakal ditangani.

"Lucu dan menariknya, kalau Umi sendiri tak puas hati dengan terma yang termaktub dalam kontrak itu, beliau sendiri yang akan menghubungi pihak berkaitan.

"Tapi kalau saya menangis, Umi akan marah. Pernah satu tahap, Umi cakap kalau nak menangis... jangan hubungi atau bertemunya lagi," katanya.

SHIHA Mentor pada pelancaran Koleksi Alfio Raldo 2015 di Great Eastern Mall. - Foto Munira Abdul Ghani

Tambah Shiha lagi, Allahyarham sebenarnya cukup tegas dengan pendirian diri.

"Dia memang tegas. Pendek kata sangat garang. Marah dan garangnya itu bersebab. Umi kalau boleh nak saya jadi kuat sepertinya. Jangan tunjuk diri ini cepat mengalah," katanya.
Mengintai sisi kerjaya seninya, Shiha sebenarnya sudah empat tahun menceburi pentas seni dan menerima hakikat tuah masih belum berpihak kepadanya.

Akui Shiha, bergelar juara atau mendapat tempat terbaik dalam sesebuah pertandingan bukan jaminan atau tiket yang memastikan golongan artis itu akan melalui fasa mudah bergelar anak seni.

"Ada juga juara pertandingan lain, yang kejap ada kejap tak ada. Itulah hakikat. Nak kata saya bergelut untuk memastikan bakat ini disedari, memang ia umpama cerita basi.

"Tapi ironinya saya sedar ruang dan diri masih belum berada di tahap yang diingini. Selepas menang tempat kedua di Mentor dan menandatangani kontrak bersama syarikat 8 Unit dan Monkey Bone pun tuah saya belum ada untuk menyinar.

"Saya sudah ada album dan single terbaharu Halusinasi, cuba lakonan, pengacaraan dan kini menari pula untuk FESTARI 2015 tetapi kalau sudah nama belum ada rezeki, kita tak mampu menentangnya. Saya pernah di tahap menangis mengenang nasib hidup. Sampai sekarang perasaan lemah semangat dan kecewa itu datang sesekali.

"Tapi emak saya selalu cakap ingat balik dari mana permulaan kenapa saya menyanyi. Saya menyanyi sebab arwah abah. Arwah abah Shiha jadi orang seni. Umur tujuh tahun lagi, Shiha sudah menyanyi dengan kombo polis.

"Arwah abahlah yang ajar saya menyanyi. Saya sedar bukan laluan mudah untuk saya. Saya reda dengan apa yang dilalui dan anggap rezeki belum sampai dan akan ada sesuatu menunggu di depan saya kelak," katanya.

Dengan apa yang dilaluinya kini, Shiha mengakui belum pernah terlintas di hatinya untuk beralah dan meninggalkan pentas seni.

SHIHA dan Amelina pada Malam Kemuncak Anugerah Bintang Popular BH 2014, di Arena of Stars, Genting Highlands. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Info Shiha Zikir

  • Nama penuh: Nurshiha Mohd Zikir
  • Tarikh lahir: 2 November 1987
  • Umur: 28 tahun
  • Tempat lahir: Bukit Mertajam, Pulau Pinang
  • Selain menyanyi, nama Shiha semakin menyinar sebagai pengacara
  • Pernah terpilih mengemudi program popular, Jalan-Jalan Cari Makan dan Jurnal Mentor Legend
  • Menyertai Mentor musim kelima di TV3 di bawah seliaan Allahyarham Datuk Sharifah Aini
Berita Harian X