Selasa, 9 Jun 2015 | 12:00am
AISHAH bersama The Fan Club.

Suara emas empat diva


KULIT album 4 Diva wanita terbaik.

DEKAD 1990-an menyaksikan kemunculan penyanyi bersuara hebat seperti Aishah dan Ziana Zain, yang memahat kedudukan selesa dalam liga tersendiri.

Terlebih dulu mencipta nama di New Zealand bersama kumpulan, The Fan Club, Aishah mencipta sejarah tersendiri sebagai artis wanita tempatan pertama yang menembusi pasaran antarabangsa.

Bersama The Fan Club yang dianggotai Paul Moss (gitar), Malcolm Smith (keyboard), Dave Larsen (dram) dan Glenn Peters (bass), kumpulan yang menaungi label, CBS New Zealand itu sempat merakamkan dua album iaitu Sensation dan Respect The Beat.

Populariti Aishah melonjak pada tahun 1988 apabila bakatnya mula meraih perhatian, tidak hanya di New Zealand dan Australia, malah turut menembusi pasaran Amerika Syarikat.

Meskipun meraih keselesaan untuk membina nama lebih besar, Aishah memilih untuk kembali ke tanah air. Pada tahun 1990, album studio pertama yang mengangkat namanya sebagai judul dihasilkan. Diterbitkan Adnan Abu Hassan, album memuatkan 10 lagu, termasuk instrumental, Camar Yang Pulang itu membuktikan keupayaan luar biasa penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu.


AISHAH popular dengan lagu Janji Manismu.

Bakatnya dikagumi ramai apabila Aishah turut merakamkan dua lagu tradisional, Bahtera Merdeka dan Syurga Di Telapak Kaki Ibu. Tidak hanya mengukuhkan nama Aishah sebagai antara penyanyi terbaik, album itu juga melakar pelbagai pencapaian manis apabila single pertamanya, Janji Manismu dinobatkan sebagai Juara Lagu 1990, menewaskan Suci Dalam Debu nyanyian Iklim dan Sejati (Wings).

Fenomena Aishah berterusan apabila meraih kejayaan sebagai Artis Paling Popular dan Artis Wanita Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) . Dengan 11 album studio, terakhir tampil bersama Anak pada tahun 2010, nama Aishah akan terus terpahat sebagai antara penyanyi wanita terbaik dalam industri muzik tempatan

Antara lagu popularnya yang dimuatkan dalam kompilasi ini adalah Janji Manismu, Melukut Di Tepi Gantang, Camar Yang Pulang, Syurga Di Telapak Kaki Ibu, Cinta Beralih Arah dan Tiada Lagi Tangisan.

Menyertai BMG Music pada tahun 1992, kemunculan awal Ziana Zain terpalit kontroversi apabila suara lantangnya kurang disenangi.


ZIANA Zain.

Ziana bagaimanapun, tidak mengalah malah lagunya, Madah Berhelah diterima ramai. Ziana mencetuskan fenomena selepas muncul dengan album kedua yang mengisi lagu popular seperti Anggapanmu, Putus Terpaksa dan Kasihku Pertahankan.

Popularitinya memuncak pada tahun 1995 menerusi album ketiga, Setiaku Di Sini. Dijual lebih 180,000 unit, album itu mengangkat Ziana sebagai pemenang Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita), Anugerah Industri Muzik (AIM) 1996.

Turut diiktiraf ABPBH sebagai Artis Paling Popular, Ziana memahat nama dengan lagu terbaiknya seperti Setiaku Di Sini, Puncak Kasih, Berpisah Jua, Kemelut Di Muara Kasih dan Korban Cinta.

Sebelum kemunculan Misha Omar, Amy Mastura terlebih dulu meraih populariti bersama lagu Jawapan Kasih, Kasihku Sinar dan Siapalah Aku.

Misha yang dilamar Adnan Abu Hassan selepas menyertai Bintang RTM buat kali pertama diperkenalkan menerusi Bunga-Bunga Cinta.

Lagu yang membawa tuah itu memahat kukuh namanya. Misha memukau ramai menerusi kehebatan suaranya dalam lagu seperti Pulangkan, Cinta Adam Dan Hawa, Sampai Di Sini dan Jawapanmu.

info

  • Album: 4 Diva Wanita Terbaik
  • Artis: Misha Omar, Amy Mastura, Ziana Zain dan Aishah
  • Genre: Pop
  • Edaran: Sony Music
37 dibaca
Berita Harian X