Isnin, 8 Jun 2015 | 7:14am

Keputusan PAS bakal ubah senario politik Selangor

Jika tidak kerana serangan bertubi-tubi DAP terutama daripada Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, terhadap kepemimpinan dan ulama PAS, khususnya Datuk Seri Hadi Awang, golongan proulama dalam parti itu mungkin tidak menang sebesar kelmarin.

Serangan yang dilihat ke tahap penghinaan terhadap Presiden PAS dan kepemimpinan ulama, ditambah dengan dakwaan kononnya calon-calon yang pro-DAP turut mendapat 'bantuan' daripada parti menentang hudud itu dalam kempen mereka, menyaksikan golongan ulama menguasai semua jawatan kanan dalam pemilihan minggu lalu.

Ternyata bukan sahaja DAP, malah pemimpin dalam kalangan profesional dan pro-DAP dalam PAS masih gagal menyelami perasaan akar umbi ahli parti Islam itu. Walaupun PAS kini dikatakan semakin mendapat sokongan daripada generasi muda dan profesional, kekuatan sebenar parti itu masih bertunjangkan akar umbi di luar bandar yang menyokong PAS kerana 'perjuangan' Islamnya.

Singkir pemimpin bukan ulama

Bagi golongan yang masih menjadi majoriti dalam PAS ini, mereka akan terus setia kepada kepemimpinan ulama. Soal mengenai kemampuan parti memenangi pilihan raya atau membentuk kerajaan jika berjuang secara sendirian, bukan keutamaan. Kerana itu, apabila ulama diperlekehkan, mereka tidak teragak-agak menyingkir pemimpin dari kalangan bukan ulama.

Selain Hadi, yang menang besar menewaskan pencabarnya, Ahmad Awang, kerusi Timbalan Presiden juga dimenangi tokoh ulama, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, mengalahkan penyandang, Mohamad Sabu, yang diketahui umum rapat dengan DAP, juga dengan majoriti besar. Begitu juga dengan tiga jawatan naib presiden dan ketiga-tiga sayap PAS - Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda - yang menyaksikan hampir kesemuanya dikuasai kumpulan proulama.

Bagaimanapun Muktamar Tahunan PAS 2015 minggu lalu bukan setakat menyaksikan kembalinya penguasaan ulama dalam kepemimpinan parti, malah menimbulkan persoalan mengenai kerjasama PAS dengan parti lain pada pilihan raya umum akan datang.

Usul tergempar Dewan Ulama PAS Pusat supaya memutuskan hubungan dengan DAP tetapi tidak dengan pakatan pembangkang, yang diterima tanpa bahas mengundang polemik baharu antara golongan proulama dan profesional dalam parti itu. Atas alasan usul itu sensitif, muktamar memutuskan supaya ia dikaji di peringkat Majlis Syura dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat walaupun beberapa perwakilan mahu ia dibahas dan diputuskan oleh persidangan.

Calon tewas pertahan pegangan

Melihat ada yang mempersoalkan kebijaksanaan usul itu dari sudut pragmatik politik, Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr Mahfodz Mohamed menegaskan, ia dibuat bagi menangkis anggapan bahawa PAS adalah kuda tunggangan DAP, selain serangan parti itu terhadap Hadi. Namun, Mohamad Sabu dan tiga bekas naib presiden yang tewas, tetap mempertahankan pegangan bahawa kerjasama PAS dalam pakatan pembangkang, terutamanya DAP, amat penting untuk parti mengukuhkan perjuangannya.

Serentak itu, beliau turut mengumumkan melepaskan jawatan lantikan kerajaan DAP di Hab Halal Antarabangsa Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang. Tindakan Mohamad Sabu itu terus mendapat pujian DAP apabila Guan Eng semalam berkata keputusan itu menunjukkan beliau seorang berprinsip dan tidak mementingkan jawatan.

Perhatian kini ialah apakah keputusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Majlis Syura dalam memutuskan usul itu. Menolak usul itu bermakna mengetepikan hasrat majoriti golongan proulama tetapi jika menerimanya, bagaimana kedudukan PAS dalam kerajaan Selangor?

Sementara majoriti dua pertiga kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang tidak terjejas dengan ketiadaan sokongan seorang wakil tunggal PAS, kedudukan di Dewan Undangan Negeri Selangor tanpa sokongan parti itu, agak mencemaskan. Dengan PAS dan DAP masing-masing mempunyai 15 kerusi, manakala 13 lagi milik Parti Keadilan Rakyat, sebarang keputusan Majlis Syura untuk memutuskan hubungan dengan DAP, boleh mengubah senario politik PR di Selangor. Sebanyak 29 daripada 56 kerusi di DUN Selangor diperlukan untuk pembentukan kerajaan.

Jawatankuasa Kerja Pusat dan Majlis Syura PAS pasti akan mengambil kira perkara ini sebelum membuat keputusan. Kita juga menjangka, barisan baharu kepemimpinan PAS, yang mahir dalam ilmu mantik (logik) boleh memberi jawapan jika memutus untuk kekal dengan kerajaan Selangor walaupun putus hubungan dengan DAP.

Kepada musuh politik PR, jangan terlalu mengharapkan perkembangan terbaru ini bakal melemahkan pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang. Dua tahun adalah terlalu lama dalam politik dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Sejarah PAS, seperti juga parti politik lain, menunjukkan mereka boleh melakukan apa saja untuk menikmati tampuk kuasa.

Berita Harian X