Isnin, 8 Jun 2015 | 12:02am
EMPAT produk baharu biskut Royale Danish dilancarkan Februari lalu sekali gus mempelbagaikan barisan produk. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Bekas tentera jadi taukeh biskut


MUHAMMAD Abdul Ghani bersama produk yang dihasilkannya. - Foto Nurul Shafina Jemenon

SEORANG bekas tentera tidak pernah menyangka keazamannya untuk menceburi bidang perniagaan selepas tamat perkhidmatan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kira-kira 20 tahun lalu, membawa perubahan yang besar kepada diri dan keluarganya pada hari ini.

Selepas mendapat 'ilham' untuk berniaga selepas meninggalkan pasukan keselamatan pada tahun 1977, Datuk Muhammad Abdul Ghani, 70, tekad untuk menceburi pelbagai jenis perniagaan, termasuk berkecimpung dalam industri pengeluaran biskut.

Ternyata ia 'pilihan' yang tepat kerana kini beliau memiliki sebuah kilang biskut di Kompleks Industri Makanan MARA, Kampung Batu Muda di ibu negara. Kejayaan itu juga menjadikan beliau bukan lagi sebagai orang biasa, tetapi kini menjadi Pengarah Eksekutif DMG Food Industries Sdn Bhd.

Menceritakan pengalaman sepanjang berkecimpung dalam dunia perniagaan, Muhammad berkata, beliau hanya terbuka hati untuk berniaga secara serius selepas tamat perkhidmatan dengan ATM.


MUHAMMAD (kiri) memerhatikan pekerjanya menjalankan tugas di kilang. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Katanya, ketika itu, beliau cuba untuk memikirkan jenis perniagaan yang lain daripada yang lazim dilakukan kebanyakan orang tidak berpengalaman sepertinya, sehingga muncul idea untuk mengusahakan kilang biskut.

Usaha untuk memulakan perniagaan itu juga bukan mudah kerana berdepan pelbagai cabaran dan rintangan ketika itu. Namun, demi merealisasikan impiannya untuk memiliki kilang biskut, Muhammad sanggup mengambil risiko dengan membuat pinjaman sebanyak RM3.7 juta daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA).

"Hari ini, saya bersyukur dapat membangunkan kilang biskut dan memasarkan biskut mentega jenama Royale Danish di pasaran, malah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan.


BISKUT mentega Royale Danish mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Bukan itu saja, kami baru sahaja melancarkan empat produk biskut baharu pada bulan Februari lalu sekali gus mempelbagaikan barisan produk," katanya dalam satu temu bual dengan BH, baru-baru ini.

Muhammad yang sudah berkecimpung 20 tahun dalam perniagaan itu berkata, sewaktu perniagaannya mula bertapak hingga sekarang, beliau menghadapi banyak cabaran, termasuk dalam soal memasarkan biskut ke pasaran.

Katanya, inilah cabaran terbesar yang lazim dihadapi usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana ketidakyakinan rangkaian pasar raya besar menerima jenama baharu.

Selain itu, beliau berkata, ada sesetengah pasar raya juga mengenakan syarat ketat terhadap PKS seperti perlu membuat pembayaran yang tinggi, sebelum dapat membawa masuk produk di premis mereka.

"Langkah pasar raya terbabit bukan saja menyebabkan PKS sukar mencari pasaran baharu, malah tidak membantu usahawan Bumiputera terutama orang Melayu," katanya.


MUHAMMAD Abdul Ghani. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Muhammad berkata, cabaran lain termasuk kesilapan dalam menjalankan perniagaan, pekerja tidak melakukan kerja dengan cekap serta sempurna sekali gus menjejaskan produktiviti dan kualiti produk yang dihasilkan.

"Kesilapan paling ketara, kilang biskut sepatutnya mengeluarkan biskut berdasarkan tempahan daripada pelanggan dan memasuki pasaran eksport selepas mempunyai kapasiti pengeluaran yang mencukupi.

"Ada juga pelanggan kadang-kala membuat tempahan biskut, tetapi mereka tidak mengambil stok yang dipesan. Namun, itu semua asam garam dalam dunia perniagaan dan perlu dijadikan iktibar untuk meneruskan perniagaan sehingga mencapai kejayaan," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad berkata, kilang biskut itu menyasarkan untuk meraih jualan sehingga RM2 juta tahun ini atau sekurang-kurangnya RM200,000 sebulan.

"Untuk itu, kami merancang untuk memperluaskan rangkaian pengedaran dengan melantik pengedar di setiap negeri, selain mengalu-alukan penyertaan bekas anggota tentera untuk menceburi perniagaan ini.


BISKUT yang sudah siap dimasak dimasukkan ke dalam tin. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Selain itu, kami turut berhasrat untuk menambah bilangan produk biskut yang dikeluarkan, namun mahu meningkatkan penguasaan pasaran terlebih dulu," katanya.

Beliau berkata, syarikat itu juga merancang untuk meneroka semula pasaran di luar negara, iaitu India yang menjanjikan peluang dan pulangan lebih besar.

Katanya, sebelum ini eksport ke negara itu dihentikan berikutan kapasiti pengeluaran yang tidak mencukupi, sebelum pemindahan kilang dari Pelabuhan Klang, Selangor.

Sebelum menceburi industri biskut, Muhammad menjalankan perniagaan kereta sewa selepas berhenti daripada perkhidmatan ATM pada tahun 1977 dan selepas itu membuka sekolah memandu di Negeri Sembilan.

"Saya menceburi kedua-dua perniagaan pada masa itu disebabkan tiada orang Melayu yang berkecimpung dalam perniagaan terbabit," katanya sambil berkongsi pengalamannya bahawa ahli perniagaan akan memperoleh kejayaan sekiranya menjalankan perniagaan yang jarang dilakukan oleh orang lain.

Berita Harian X