Ahad, 7 Jun 2015 | 11:39pm
ANGGOTA bomba sedang membantu mangsa kemalangan. - Foto ihsan Bomba

2 maut dalam kemalangan 7 kenderaan


DUA wanita maut manakala seorang remaja perempuan cedera dalam satu kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 216.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Bukit Gantang. Foto ihsan Bomba

TAIPING: Dua wanita maut manakala seorang remaja perempuan cedera dalam satu kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 216.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Bukit Gantang, di sini, kira-kira jam 9.15 malam tadi.

Kemalangan membabitkan dua bas dan lima kenderaan lain iaitu sebuah Toyota Vios, Toyota Land Cruiser, Toyota Hilux, Perodua Myvi dan sebuah Honda Civic.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Hasna Rashid, berkata mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Chiang Yut Meng, 47 dan Ooi Yi Juen, 19, yang menaiki kenderaan jenis Toyota Vios.

Katanya, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala remaja perempuan berusia 13 tahun yang juga penumpang kenderaan terbabit cedera dan dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut. Difahamkan kenderaan yang dinaiki mereka terperosok di bawah bas.

"Kami menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.25 malam dan operasi tamat kira-kira jam 10.58 malam. Bagaimanapun, tiada penumpang bas yang cedera dalam kemalangan berkenaan," katanya.

Berita Harian X